KUALA LUMPUR, 29 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyampaikan Ucapan Dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka malam ini. Berikut teks ucapan penuh:

TERIMA KASIH KEPADA SAUDARA/SAUDARI PENGACARA MAJLIS.
ASSALAMMUALAIKUM WBT.

SALUTASI

SEGALA PUJI TERHADAP ALLAH SWT PEMILIK SEMESTA ALAM. SALAM DAN SELAWAT TERHADAP JUNJUNGAN BAGINDA RASULULLAH SAW.

YBHG TAN SRI BADRUDDIN BIN AMIRULDIN
PENGERUSI TETAP

YBHG DATO’ SERI RIZUAN BIN HAJI ABD HAMID
TIMBALAN PENGERUSI TETAP

YB DATO’ SERI UTAMA MOHAMAD BIN HAJI HASAN
TIMBALAN PRESIDEN

YB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
YB DATO’ SERI DIRAJA HAJI MAHDZIR BIN KHALID
YBHG DATO’ SERI HAJI MOHAMED KHALED BIN NORDIN
NAIB-NAIB PRESIDEN

YB DATO’ DR NORAINI BINTI AHMAD
KETUA PERGERAKAN WANITA DAN SAF KEPIMPINANNYA

YBHG DATO’ DR. ASYRAF WAJDI BIN DATO’ DUSUKI
KETUA PERGERAKAN PEMUDA DAN SAF KEPIMPINANNYA

YBHG DATO’ ZAHIDA BINTI ZARIK KHAN
KETUA PERGERAKAN PUTERI DAN SAF KEPIMPINANNYA

YB TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA HJ. ANNUAR BIN MUSA
SETIAUSAHA AGUNG

YB DATUK SERI UTAMA TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
BENDAHARI AGUNG

YB DATO’ DR. SHAMSUL ANUAR BIN NASARAH
KETUA PENERANGAN

RAKAN-RAKAN AHLI MAJLIS KERJA TERTINGGI, SIDANG PERWAKILAN, TETAMU-TETAMU KEHORMAT, PARA PEMERHATI, PENGAMAL MEDIA, PEJUANG-PEJUANG UMNO SERTA PENDUKUNG-PENDUKUNG UMNO DI SELURUH NEGARA.

MUKADIMAH

1. Alhamdulillah. Ketika melangkah masuk ke dalam dewan sebentar tadi, saya dapat melihat dan kagum, para pejuang UMNO masih setia berdiri gagah dan megah. Wajah keceriaan, penuh semangat. Suatu paparan kesediaan dan iltizam, untuk kita terus menjadi mata rantai suatu perjuangan yang panjang. Semoga Allah SWT merahmati, memberkati dan melindungi perhimpunan kita pada malam ini.

2. Sesungguhnya Allah berfirman dalam Surah Ali-Imran ayat 173:

“Hasbunallahu wanikmal wakil.”
‘Cukuplah Allah sebagai pelindung bagi kita.’

3. Saya merakamkan ucapan tahniah kepada saudara-saudari sekalian kerana walaupun kita tidak lagi berkuasa dan menempuh pelbagai kepayahan, sesungguhnya lebih 20,000 cawangan telah berjaya mengadakan mesyuarat.

4. Ucapan penghargaan dan tahniah saya ucapkan kepada semua 191 UMNO Bahagian yang telah berjaya mengadakan persidangan masing-masing. Ingin saya memaklumkan, kita mempunyai 40% Ketua Bahagian baharu, 43% Ketua Wanita baharu, 84% Ketua Pemuda baharu dan 76% Ketua Puteri baharu. Ini termasuklah 4 tokoh wanita yang telah terpilih sebagai Ketua Bahagian.

5. Jutaan terima kasih yang tidak terhingga juga saya lafazkan atas kehadiran semua ke Perhimpunan Agung UMNO 2018. Penghargaan juga diucapkan kepada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang telah selesai mengadakan persidangan masing-masing pada siang tadi. Perhimpunan yang penuh bersejarah ini, dilaksanakan dalam suatu suasana yang amat berbeza sekali daripada tahun-tahun sebelum ini. Saya berkeyakinan tinggi bahawa semangat UMNO BANGKIT, semakin membara dan menjulang tinggi dalam diri kita semua.

6. Kita turut mengalu-alukan kehadiran mantan Presiden, YB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, dan pemimpin-pemimpin veteran UMNO sekalian. Mereka inilah insan yang berjiwa besar. Tetap setia bersama UMNO!

7. Marilah juga kita sedekahkan Al-Fatihah kepada ahli dan pemimpin UMNO yang telah pergi meninggalkan kita. Bagi yang masih hidup, kita berdoa agar mereka dan keluarga diberkati, dirahmati dan diberikan kesihatan yang baik oleh Allah SWT. Al-Fatihah.

FIKRAH PRESIDEN DAN REALITI SEMASA

Saudara dan Saudari sekalian,

8. Saya penuh sedar dan insaf kerana dalam sejarah UMNO, sayalah Presiden yang pertama menyampaikan Ucapan Dasar Presiden dalam kedudukan sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen. Sejak PRU pertama hingga ke-14, inilah kali pertama kita bukan lagi menjadi sebuah kerajaan di peringkat Persekutuan dan hanya menguasai dua buah negeri sahaja iaitu Perlis dan Pahang. Bagaimanapun, kita juga hampir menubuhkan kerajaan di Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Sabah. Tahniah kepada Perlis dan Pahang!

9. Jika ada wakil rakyat UMNO yang sukar hendak menyesuaikan diri sebagai pembangkang, terutama kepada mereka yang kali pertama menjadi wakil rakyat dan memulakan kerjaya politik sebagai pembangkang, bersabarlah. Inilah takdirNya. Kita insaf dan redha dengan ketentuan Allah SWT. “La tahzan, innallaha ma’ana”, “Janganlah bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.”

10. Justeru, UMNO memohon maaf kepada mereka yang telah meletakkan harapan dan keyakinan yang begitu tinggi kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk terus memimpin dan mentadbir negara pada PRU-14 yang lalu. UMNO mengambil pengajaran dan beriltizam untuk mengembalikan semula keyakinan dan menjadikan harapan ini suatu kenyataan. Insya-Allah.

11. Sejak sekian lama, UMNO diibaratkan seperti pokok rendang. Mempunyai akar tunjang kuat, dahan kukuh dan mengeluarkan buah-buahan yang lazat. Ia juga menjadi tempat rakyat berteduh sejak 72 tahun yang lalu.

12. Namun, ada pihak yang cemburu dan iri hati. Mereka sentiasa berusaha menumbangkannya. Mereka lakukan sedikit demi sedikit. Walaupun tidak rebah, pokok ini telah condong pada tanggal 9 Mei yang lalu. Tatkala itulah, kura-kura mula merangkak menaiki pokok condong yang amat berjasa ini.

13. Berikutan ‘perang saraf dan gerak saraf’ pihak lawan yang berterusan, penilaian negatif rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional menghancurkan segala-galanya pada PRU-14 lalu. Serangan terhadap ‘the centre of gravity’’ berjaya mempengaruhi rakyat. Lawan kita melakukannya menerusi pembohongan dan penipuan secara berterusan, melalui penyebaran fitnah dan penyaluran maklumat separuh benar. Inilah kepakaran mereka. Tidak aneh, inilah yang mereka lakukan sehingga kini, walaupun mereka telah membentuk kerajaan.

14. Pihak lawan secara halus dan berperingkat, melancarkan serangan bertali arus. Storyboard dan storyline, disusun rapi untuk membesar-besarkan semua kesalahan dan kelemahan Barisan Nasional serta pemimpin-pemimpinnya. Benarlah mutiara kata ungkapan Saidina Ali Karramallahu Wajhah, “KEBENARAN YANG TIDAK TERANCANG, AKAN KALAH KEPADA KEBATILAN YANG TERANCANG”.

15. Kita bagaikan sebuah bahtera di lautan penuh bergelora. Walaupun layar bahteranya robek, setiap anak kapalnya tidak akan meninggalkan bahtera perjuangan. Jauh sekali terjun meninggalkan bahtera atau mematahkan tiang seri layarnya, serta menebuk dinding bahtera dari dalam. Tindakan ini pasti menyebabkan pelayaran bangsa kita tergugat! Yakinlah, nakhoda dan kelasi yang baik, BUKAN datang dari pelayaran di lautan yang tenang!

16. Selepas keputusan yang mengejutkan pada PRU-14 yang lalu, ada segelintir di antara kita meninggalkan parti. Pelbagai alasan diberikan, namun ahli UMNO tetap bijak menilai hati budi mereka. Mereka ini bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Tidak kurang pula yang mula condong dan mahu beralih arah. Namun, masih ramai lagi yang kekal setia, berdiri teguh dan gagah menjulang obor perjuangan, demi agama, bangsa dan tanah air kita!

17. Silakan berdiri semua Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang berada di dalam dewan ini! Sama ada yang di atas pentas, mahu pun yang duduk di kerusi perwakilan! Mari kita berdiri dan memberi tepukan gemuruh kepada para wira UMNO. MEREKA INILAH BENTENG DAN PEJUANG BARISAN HADAPAN KITA!

18. Yakinlah, awan mendung yang melanda akan segera berarak, menipis dan sirna (lenyap). Jika kita bersatu dan kuat, kita pasti akan bangkit! Jika kita berjaya mendepani landskap politik hari ini, kita akan kembali kukuh. Sudah tentu, kita sentiasa bersedia memimpin kerajaan, sekiranya apa-apa terjadi kepada kerajaan sekarang. WE ARE THE BETTER OPTION, KITALAH PILIHAN TERBAIK untuk kembali menjadi kerajaan dalam masa terdekat, atau selepas PRU-15 nanti. Kini, kita juga membentuk ahli Parlimen kita menjadi PEMBANGKANG YANG KONSTRUKTIF dan DINAMIK. Mereka akan terus membela nasib rakyat tanpa mengira kaum dan latarbelakang.

19. Kita mestilah menanam iltizam untuk memperkukuhkan parti. Jangan dititis cuka pada luka. Jika ahli kuat, parti akan kuat! Ahli yang teguh bersatu akan mengukuhkan parti. Kepada mereka yang asyik menyubur dengki, menyemai khianat, mengadu domba, kita minta berhentilah berbuat demikian. BERSEDIALAH SAUDARA DAN SAUDARI SEKALIAN UNTUK MEMBERIKAN JIWA DAN RAGA KEPADA PERJUANGAN MURNI UMNO INI!

MELAYU BANGSA BESAR DAN UNIVERSAL

Saudara dan Saudari sekalian,

20. Sinergi konsep umat Melayu memberi erti yang cukup tersendiri, bagaimana suatu bangsa itu Allah SWT ciptakan supaya menjadi sebahagian umat dari kelompok yang lebih besar. Sunnatullah (sunnah Allah) menetapkan Melayu hidup bersama Cina, India, Iban, Melanau, Bidayuh, Kadazan, Dusun, Murut, serta pelbagai etnik di negara tercinta ini.

21. Islam telah mendidik orang Melayu menghormati penganut agama lain. Kisah Baba dan Nyonya, India dan Portugis Peranakan di Melaka, yang datang ke Malaysia ratusan tahun yang lalu, mereka amat menyantuni budaya, adat dan cara hidup orang Melayu. Mereka tidak dipaksa memeluk Islam, tetapi melakukan asimilasi sosial secara bijaksana, hinggakan wujud perpaduan dan kerjasama dalam kalangan mereka dan orang Melayu.

22. Naratif perjuangan UMNO sejak tahun 1946 merupakan suatu simbiosis yang berterusan sejak zaman berzaman, malah kesaling-hubungan itu telah berjaya mewujudkan persaudaraan dan keharmonian antara kaum, seperti apa yang kita saksikan pada hari ini. Perjuangan panjang menegakkan agama, bangsa dan tanah air ini tidak pernah menghambat atau menjadi batu penghalang kepada kehidupan yang harmonis. Ini adalah kerana UMNO juga memperjuangkan keadilan sosial bagi semua kaum. Kemajmukan dan kepelbagaian budaya, bahasa dan adat resam, menjadi resipi asas dan teras kepada perpaduan.

23. Janganlah disakiti hati dan perasaan orang Melayu lagi. Hakikatnya, mempersoalkan asal usul orang Melayu, samalah dengan mempersoalkan kedaulatan Raja-Raja Melayu itu sendiri. UMNO tegas dalam perkara ini! Cubaan ‘border testing’, atau tindakan mahu menguji sejauh mana kesabaran orang Melayu ini, sudah pasti akan mengundang reaksi balas dan bakal memakan diri mereka sendiri!

KEMAJMUKAN UMNO

Saudara dan Saudari sekalian,

24. UMNO adalah sebuah parti Rumpun Melayu. Walaupun begitu, di dalamnya terdapat pelbagai kaum dan etnik. Dalam kalangan ahlinya pula, majoritinya beragama Islam, dan ada juga yang beragama Kristian dan Buddha. Parti ini diwarnai pelbagai latar belakang etnik yang menggambarkan kemajmukan UMNO itu sendiri.

25. Atas kemajmukan inilah kita merekacipta sebuah pemerintah yang berteraskan keadilan sejagat sejak mencapai kemerdekaan. Kita yang memartabatkan agenda Melayu Bumiputera sebagai agenda nasional, tanpa mengenepikan kaum lain. Ia diperkukuhkan lagi dengan semangat jujur dan ikhlas bagi membantu semua pihak.

26. Sehubungan itu, jika mahu menang semula, maka kita wajib menjalinkan silaturrahim dan keakraban antara kita, serta sifat membenci perlu diketepikan! Penyatuan mesti datang dari hati yang mukhilisin dan terbuka. Wehdatul fikr (kesatuan pemikiran) mestilah selari dengan wehdatul amal (kesatuan tindakan).

27. UMNO tidak perlu membuka keahliannya kepada kaum-kaum lain untuk kekal relevan. Masyarakat Malaysia sejak dari dahulu sehingga sekarang, tinggal di dalam kelompok dan komuniti masing-masing, dan ia masih kekal begitu. Kebersamaan kita dalam Perikatan dahulu, dan kini dalam Barisan Nasional adalah suatu bukti bahawa kita menghargai peranan parti-parti yang berlandaskan kepada kepelbagaian kaum. Ini dilakukan demi kepentingan negara. Oleh yang demikian sifatnya, saya ingin tegaskan di hadapan saudara dan saudari sekalian, UMNO AKAN TERUS KEKAL MENJADI PARTI ORANG MELAYU DAN BUMIPUTERA!

28. Sesungguhnya, kita perlu sentiasa mengingatkan diri kita, bahawa UMNO bukanlah sebuah parti yang rasis, berat-sebelah dan prejudis, atau menjadi ancaman kepada mana-mana kaum lain. Orang Melayu tidak pernah menzalimi dan meminggirkan mana-mana kaum. Jauh sekali untuk mengambil hak kaum lain secara paksa!

29. Malah, kita telah membuktikan bahawa kita sentiasa bertindak di atas ‘the Malay wisdom’ atau ‘Bijaksana Melayu’, dan meletakkan prinsip ‘al-adlu wal-ihsan’ (adil dan ihsan) sebagai ‘kompas moral’ dalam setiap tindakan.

30. Hakikatnya, hari ini orang Melayulah yang paling terdedah dengan sikap bias dan prejudis bangsa lain kepadanya. Orang Melayu dituduh bodoh dan kononnya pemalas, terlalu bergantung kepada subsidi dan bantuan kerajaan. Lebih menyedihkan lagi, apabila bangsa kita disebut sebagai BANGSA PENGEMIS, dan amat menghairankan mereka yang berada dalam saf kepemimpinan kerajaan hari ini, RELA BANGSANYA DIHINA SEBEGITU!

31. Akibat daripada sikap prejudis dan bias itu, ramai orang Melayu masih sukar mendapat peluang yang saksama, terutamanya dalam menyertai syarikat swasta yang bukan milik Melayu. Usahawan-usahawan Melayu masih menghadapi masalah menembusi rangkaian perniagaan, dan mendapatkan bekalan pada harga yang kompetitif dari sumber yang dikuasai bukan Melayu. ORANG MELAYU MASIH GAGAL MENGUASAI EKONOMI KERANA DIDISKRIMINASIKAN!

UMNOFOBIA, MELAYUFOBIA DAN ISLAMOFOBIA

Saudara dan Saudari sekalian,

32. Rasulullah SAW telah bersabda, ’al Islamu ya’lu wala yu’la alaih’ yang bermaksud, ‘Islam itu adalah agama yang tertinggi, dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya’. Islam dan Melayu berpisah tiada. Jumlah penduduk MELAYU adalah sekitar 62% di negara ini.

33. Sebab itulah, Malaysia mesti terus dipimpin oleh kita. Namun, ia tidak bermakna kita mengamalkan assabiyyah mahu pun dasar perkauman. Faktor sejarah, undang-undang tubuh negeri-negeri, dan faktor demografiklah yang meletakkan keistimewaan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.

34. UMNO akan terus menjunjung dan menegakkan Islam yang syumul, dan menolak fahaman pluralisme, yang boleh menggugat kesyumulan Islam itu sendiri. UMNO akan terus memberi kefahaman tasawwur yang jelas dan hakiki, agar menjadi pedoman dan asas kepada segala bentuk tindakan.

35. Hingga ke hari ini, adat resam, budaya, bahasa ibunda dan sistem pendidikan, masih dikekalkan mengikut kaum. Inilah yang telah diamalkan oleh kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional sejak kita merdeka. Inilah yang telah dipersetujui oleh 3 kaum terbesar, ketika kita meraih kemerdekaan.

36. Maka sebab itulah, konsep Malaysian Malaysia yang menuntut kesamarataan, tidak boleh diterima. Jelas, ia bercanggah dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. UMNO AKAN TERUS MEMPERTAHANKAN PERKARA 153 INI!

PEMBANGUNAN INSTITUSI KELUARGA

Saudara dan Saudari sekalian,

37. Mutakhir ini, fahaman liberalisme terutamanya LGBT amat membimbangkan kita. Kini isu berkenaan bebas dibincangkan secara umum, sehingga soal tandas mengikut gender yang hendak digunakan pun, jadi perbincangan. Perdana Menteri sendiri menolak budaya LGBT! Perdana Menteri juga menolak pernikahan sejenis!

38. Gerakan penyebaran fahaman Syiah dalam kalangan umat Islam di negara ini semakin berleluasa dan terbuka. Keadaan ini memudaratkan pegangan akidah ahli Sunnah Wal-Jamaah. Budaya Hedonisme (hiburan melampau) kian berkembang dalam kalangan masyarakat kita. Kita bimbang sekiranya gejala-gajala ini tidak dibendung, ia boleh mengganggu-gugat keharmonian masyarakat, sebagaimana yang dapat kita saksikan di negara-negara lain.

39. Apabila pengaruh kebendaan tidak diseimbangkan dengan nilai budaya dan agama, maka jati diri mudah terhakis. Anak-anak dan generasi muda akan mudah terjebak dengan pengaruh dan gaya hidup hedonisme yang nyata merosakkan.

HALA TUJU UMNO

Saudara dan Saudari sekalian,

40. Ada pihak yang mempersoalkan kenapa saya banyak berdiam dan perlahan dalam menentukan hala tuju UMNO. Maaf! Sebenarnya, saya perlu memberi tumpuan kepada kerja-kerja pengurusan dalaman parti, terutamanya bagi mengekang usaha-usaha melemahkan UMNO. Diam itu emas, bertindak itu berlian! Begitu juga yang diungkapkan oleh seorang ahli falsafah China bernama Lao-Tzu. SILENCE IS A SOURCE OF GREAT STRENGTH!

41. Kita sudah tahu bahawa harta UMNO mahu disita, akaun UMNO telah dibekukan! Terdapat dalam kalangan kita yang ditekan dengan pelbagai siasatan, terdapat juga yang diheret ke mahkamah. Malah terdapat usaha untuk mengharamkan UMNO!

42. Kita sedang bergelut dalam suasana akaun parti yang dibekukan. Hingga hari ini ia masih belum lagi mendapat pelepasan. Saya menyeru kepada pihak berwenang, janganlah berlaku zalim dan tunduk serta takut kepada arahan Sang Penguasa. Ikutlah peraturan yang sedia ada, jangan menindas dan melakukan gertakan murahan! Rakyat melihat dan menilai setiap tindakan-tindakan itu.

43. Sebenarnya, saya menyebut mengenai hala tuju UMNO dalam pertemuan dengan ahli-ahli dan pemimpin parti di seluruh negara. Hala tuju UMNO sekarang adalah untuk MENANG DAN KEMBALI BERKUASA. INILAH HALA TUJU KITA! Jika kita boleh membentuk kerajaan, segala yang ingin kita lakukan untuk kebaikan negara mampu dilaksanakan. Insya-Allah.

44. Semestinyalah hala tuju ini perlu disokong oleh semua orang UMNO berpandukan kepada 7 teras yang perlu kita laksanakan bersama. Di sini, SAYA INGIN MENGGARISKAN 7 TERAS TERSEBUT YANG MERANGKUMI 21 LANGKAH UNTUK MEMBOLEHKAN KITA MENCAPAI KEJAYAAN.

45. Tujuh teras ini adalah hasil daripada rumusan sewaktu kita mengadakan pemukiman baru-baru ini, membabitkan perkara-perkara seperti Perlembagaan, Keahlian, Struktur Parti, Perkaderan dan Latihan, Penerangan dan IT, Tawaran Baharu serta Program Tumpuan dan Institusi Dalaman UMNO.

46. Rumusan pemukiman ini membuktikan bahawa proses membuat keputusan adalah dengan mengambil kira pendapat daripada bawah. Inilah antara proses syura yang sering saya utarakan. Keputusan dibuat secara bersama, dan sikap bertanggungjawab juga seharusnya secara bersama! Jangan biarkan saya keseorangan!

TERAS PERTAMA: MEMBINA KEYAKINAN DAN KEPERCAYAAN

Saudara dan Saudari sekalian,

47. Tugas penting kita sekarang adalah untuk membina keyakinan ahli dan masyarakat. Saya akui, ini bukanlah tugas mudah, ia memerlukan usaha-usaha yang berterusan.

LANGKAH 1

48. Saya mengharapkan agar semua memahami sejelas-jelasnya idealisme perjuangan UMNO. UMNO bukan hanya ditubuhkan bagi memenangi pilihan raya. Tetapi ia adalah sebuah manifestasi perjuangan berpaksikan kepada agama, bangsa dan tanah air. Perkara ini termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO. Maka, UMNO mengambil pendirian untuk kekal sebagai parti politik Melayu yang ideologinya berbentuk konservatif tetapi progresif.

49. Biarpun begitu, kita telah mempunyai ahli-ahli UMNO terdiri dari Kadazan, Dusun, Murut, Siam dan orang Islam serta mualaf dari pelbagai bangsa. Malah Parti KIMMA yang terdiri dari kalangan rakan-rakan India-Muslim turut menjadi ahli bersekutu UMNO sejak Ogos 2010 lagi. Kita juga meraikan ahli-ahli UMNO yang terdiri dari yang beragama Kristian, Buddha dan pelbagai agama lain. Ini harus dihormati.

LANGKAH 2

50. Sekiranya prinsip ketaatan dan kesetiaan kepada parti serta pemimpin untuk bekerja sebagai satu pasukan tidak mampu diterapkan, kita akan hancur! Justeru, saya meminta kepada semua ahli untuk setia kepada parti dan kepemimpinan. Sesungguhnya, inilah antara formula penting membentuk parti yang mantap. Ketaatan ini dituntut selagi mana ia tidak mudarat dan melanggar hukum syarak.

LANGKAH 3

51. Sesungguhnya taat dan setia kepada kepemimpinan, dan bukannya kepada parti seringkali membentuk budaya ‘warlord’’. Inilah punca utama masalah politik wang. Sebagai Presiden, saya komited menjadikan UMNO sebagai sebuah Parti Sifar Rasuah! POLITIK WANG BOLEH MENGHANCURKAN PARTI. POLITIK WANG JUGA AKAN MENYEBABKAN AHLI SALAH MEMILIH PEMIMPIN. POLITIK WANG JUGA MERACUNI KITA MENJADI INDIVIDU YANG GEMARKAN RASUAH DAN HABUAN (GHANIMAH).

52. Sehubungan itu, kita akan menstruktur semula Lembaga Displin parti untuk diberi lebih kuasa dan sebagai sebuah badan bebas. Peranan lembaga ini akan diangkat menjadi lebih berwibawa dan mempunyai kuasa mutlak untuk mengambil tindakan. Lembaga ini akan dianggotai oleh ahli-ahli perundangan dan pakar-pakar penyiasatan profesional agar tindakan segera dan berkesan boleh diambil tanpa memilih bulu.

LANGKAH 4

53. Saya telah berbincang dengan semua pemimpin tertinggi parti supaya mereka turun ke akar umbi. Bertemu dengan seramai mungkin ahli bagi memperjelaskan hala tuju dan idealisme perjuangan parti. Kita akan meletakkan KPI (penanda aras) kepada setiap program yang dijalankan. Ia sebagai penanda aras bagi mengukur keberkesanan dan akan diolah dari semasa ke semasa. Ini dilakukan melalui pendekatan ‘LOW COST, HIGH IMPACT’! Kos yang rendah tetapi memberi pulangan yang tinggi.

LANGKAH 5

54. Mutakhir ini, terdapat wakil rakyat UMNO melompat keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas. Saya akui amat sukar untuk menyekat mereka keluar parti. Tetapi demi menghormati kehendak ahli-ahli parti yang telah dikhianati, KITA TELAH PUN MENGAMBIL LANGKAH DRASTIK MELALUI TINDAKAN UNDANG-UNDANG!

55. Saya ingin menyatakan bahawa writ saman telah pun dihantar kepada beberapa individu terbabit. Kita menuntut bayaran balik yang melibatkan kos dan mereka juga perlu mengosongkan semula kerusi yang dimenangi atas tiket UMNO dan Barisan Nasional. MEREKA TIDAK LAGI MEMPUNYAI ASAS MORAL UNTUK MENJADI WAKIL RAKYAT.

KERUSI ITU MILIK UMNO!
KERUSI ITU MILIK PENYOKONG BARISAN NASIONAL!

56. Saya juga telah berbincang dan bersetuju, SEMUA WAKIL RAKYAT UMNO SEKARANG DIMINTA MENANDATANGANI AKUJANJI. JIKA MEREKA KELUAR PARTI, SAMA ADA MENJADI AHLI BEBAS ATAU PUN MENYERTAI PARTI LAIN, MAKA STATUS MEREKA SEBAGAI WAKIL RAKYAT TERLUCUT SECARA AUTOMATIK! KITA AKAN TUNTUT MEREKA MEMBAYAR PENALTI DAN GANTI RUGI!

TERAS KEDUA: MENENTANG EKSPLOITASI POLITIK

Saudara dan Saudari sekalian,

57. Kita sekarang diperintah oleh sebuah kerajaan baharu. SAYA INGIN BERTANYA, ADAKAH KITA BERPUAS HATI DENGAN PEMERINTAHAN MEREKA? ADAKAH RAKYAT PUAS HATI DENGAN HASIL UNDI MEREKA?

58. SEDARKAH KITA, RIBUAN ORANG TELAH DIBUANG KERJA? BERJUTA MASIH TIADA KERJA! KENAIKAN HARGA BARANG TIDAK MAMPU DIKAWAL! SYARIKAT-SYARIKAT DITINDAS OLEH KRONI KERAJAAN DAN PENYINGKIRAN PEGAWAI-PEGAWAI KANAN YANG CEMERLANG DALAM GLC! MEREKA GAGAL MENUNAIKAN JANJI-JANJI MANIFESTO YANG MEREKA BUAT SENDIRI. MASIHKAH RAKYAT BERPUAS HATI?

59. Lebih menyedihkan, maruah dan kedaulatan negara tercemar, apabila kerajaan menarik balik tuntutan ke atas Pulau Batu Putih. ADAKAH INI KEMAHUAN KITA SEMUA? BANGSA JOHOR, DI MANA ANDA? RELAKAH KITA? HARUSKAH KITA MENGIZINKAN MARUAH KITA DIGADAI SEBEGITU RUPA?

60. Paling membimbangkan, apabila provokasi terhadap Institusi Beraja dan tindakan mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu, khasnya DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dibuat secara terbuka.

LANGKAH 6

61. Hari ini, campur tangan eksekutif begitu mencengkam badan kehakiman. Penghakisan dan pencabulan ke atas prinsip ‘Rule of Law’ sedang berlaku sekarang. Apa yang berlaku sekarang adalah CONTESTING AUTHORITY atau MENCABAR AUTORITI. Banyak tindakan mereka mengenepikan Perlembagaan dan keluhuran undang-undang.

62. Maka, UMNO hendaklah memastikan tindakan yang melanggar Rule of Law ini MESTI dihentikan! Setiap wakil rakyat UMNO sama ada sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri hendaklah berperanan lebih berkesan untuk menyekat gejala ini!

LANGKAH 7

63. Pelanggaran dan pencabulan kepada prinsip Rule of Law ini, menjadi malapetaka besar ke atas prinsip pemisahan kuasa (separation of power) yang diamalkan oleh mana-mana negara demokrasi. Hari ini, negara semakin berundur. Wujudnya pendakwaan terpilih dan dilakukan berasaskan kepada fahaman politik. Ada kes yang masih dalam perbicaraan, tiba-tiba digugurkan begitu sahaja. Bak kata pepatah, ‘Tiba di perut dikempiskan. Tiba di mata dipicingkan. Tiba di dada dibusungkan.’ MALAHAN TIDAK DAPAT TANDUK, TELINGA PULA DIPULAS!

64. Mereka yang bertanggungjawab menegakkan The Rule of Law, telah mengotori dan mengoyakkan jubah integriti mereka sendiri. Kita mendesak kerajaan hari ini menghentikan segera pencabulan prinsip Rule of Law! Berhentilah dari melakukan gertakan murahan, apalagi mengaibkan Orang Kena Tuduh (OKT) melalui perbicaraan media massa dan media sosial!

REGIME CHANGE

Saudara dan Saudari sekalian,

65. Perubahan politik yang terjadi hari ini bukanlah sekadar peralihan kepada kepimpinan yang baharu, malah ia merupakan pertukaran keseluruhan jentera kerajaan. Inilah yang dipanggil ‘regime change’. ADAKAH KITA MENGIZINKAN KAKITANGAN KERAJAAN YANG CEMERLANG DAN PEGAWAI-PEGAWAI KANAN GLC DIBUANG DEMI MEMUASKAN SANG PENGUASA?

66. Harus diingat, situasi hari ini memungkinkan wujudnya situasi ‘hung parliament’ atau ‘parlimen tergantung’, di mana kerajaan itu boleh bertukar pada bila-bila masa. Pergolakan dan permasalahan dalaman boleh memusnahkan pakatan atau gabungan dalam sekelip mata. Kerajaan hari ini merupakan pakatan yang amat rapuh dan tidak stabil. Mereka menang tetapi tidak banyak, sementara yang kalah pula sekadar kurang sedikit. Keadaan tidak seimbang ini menyebabkan kedudukan kerajaan begitu rapuh dan boleh terbubar pada bila-bila masa! DALAM KEADAAN ITU, MEREKA AKAN MENCARI SIAPA? DI SINILAH LETAKNYA NILAI HARGA AHLI-AHLI UMNO! MAKA, JANGANLAH MEMANDAI-MANDAI CABUT!

LANGKAH 8

67. Saya ingin menekankan, janganlah disebabkan kerapuhan itu mengorbankan 3 asas keutuhan negara iaitu keamanan, kesejahteraan rakyat dan hubungan diplomatik. Janganlah bergaduh dengan semua orang. Bermusuh dengan jiran tetangga. Jangan sampai kita tidak ada negara rakan. Sikap ‘antagonis’ ini akan menyebabkan Malaysia bukan sahaja dipinggirkan di peringkat antarabangsa, malah usaha menarik pelaburan asing (Foreign Direct Investment) juga akan terbantut. Jika ini berlaku, maka kita akan menyaksikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih perlahan, apalagi dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

68. Saya bimbang, kesan domino dan dasar populis yang diamalkan kerajaan hari ini, akan menjadi suatu ‘PERFECT STORM’ atau kekacauan yang boleh membawa kepada kehancuran negara. Ketika perut rakyat tidak ditangani dengan baik akibat tiada peluang pekerjaan, ia pasti akan mengundang malapetaka!

69. Oleh itu, saya menyeru kepada barisan Jemaah Menteri kerajaan hari ini. Janganlah dikira berapa banyak ikan di laut. Usahlah mengajak rakyat menanam nanas di atas air, di belakang rumah. Kiralah tiap-tiap titik perpuluhan bila bercakap soal ekonomi. Jangan asyik tersalah letak titik. BAHAYA TU! Dahulu janji menyediakan sejuta peluang pekerjaan, tiba-tiba anak muda pula yang diminta mewujudkan peluang pekerjaan sendiri. Anak-anak yang suci bersih berkasut putih, diarah tukar berkasut hitam. Kasihanilah graduan-graduan kita yang ditipu dengan tindakan U-turn daripada janji manis untuk menghapuskan bayaran balik pinjaman PTPTN. JANGANLAH BERKOKOK, SEDANGKAN EKOR BERGELUMANG NAJIS!

70. Kepada menteri-menteri yang ada hari ini, janganlah leka dengan kejutan budaya sampai mengabaikan tanggungjawab! Tidak hairanlah Perdana Menteri sendiri sering membuat kenyataan bahawa prestasi menteri tidak memuaskan. Katanya mereka semua di bawah par! Ayuhlah, jangan biarkan Perdana Menteri keseorangan!

71. Jika mereka tidak mampu menjadi kerajaan, KEMBALIKAN KUASA KEPADA KAMI! KAMI MAMPU MELAKSANAKAN TUGAS DENGAN KOMITED DAN BERTANGGUNGJAWAB!

72. Kajian sebuah badan penyelidik bebas dan berwibawa memaparkan kebimbangan rakyat terhadap pentadbiran sekarang. Ketiadaan peluang pekerjaan dan pengangguran, yang pastinya menyebabkan jenayah semakin berleluasa. Tiada kerja, tiadalah gaji untuk menyara keluarga. Jenayah dan keganasan membuat rakyat hidup dalam keadaan resah-gelisah.

73. Saya menuntut kerajaan untuk mengambil perhatian serius kepada perkara ini! UMNO harus menjadi mata dan telinga rakyat, kita mesti mendengar setiap keluh kesah rakyat. Turunlah ke bawah dan dengarlah rintihan dan denyut nadi mereka.

TERAS KETIGA: MEMPERKASAKAN PARTI

Saudara dan Saudari sekalian,

74. Untuk memperkasakan parti, hadamlah perkara-perkara berikut:

LANGKAH 9

75. Kerajaan telah memutuskan had umur pengundi diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun. Ini akan memberi kesan besar ke atas pola politik tanah air. Kita juga perlu melakukan usaha ke arah peremajaan parti. Bagi mewujudkan kesedaran politik pada peringkat lebih awal, maka adalah dicadangkan had umur keahlian parti diturunkan dari 18 tahun kepada 16 tahun.

LANGKAH 10

76. Had penggal Presiden. Bagi memastikan keutuhan parti selaras dengan manifesto saya, ketika pemilihan Presiden dan kepimpinan parti, saya mencadangkan kepada sidang hadirin sekalian agar penggal Presiden dihadkan kepada 2 penggal sahaja. Berbincang dan berbahaslah dalam soal ini, demi kepentingan dan survival parti kita.

LANGKAH 11

77. Saya menekankan peri pentingnya budaya keintelektualan disemai dan disuburkan dalam UMNO. Setiap pemimpin mesti mempunyai kemahiran dan kebolehan menguasai pelbagai bidang ilmu, khususnya berkaitan kepimpinan dan politik dalam UMNO. Sukacita saya mengumumkan penubuhan Sekolah Politik, bagi melatih seramai mungkin ahli-ahli UMNO. Sekolah politik ini akan melatih Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri untuk menjadi pembangkang yang berkesan di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.

LANGKAH 12

78. Bagi memudahkan proses penerimaan kemasukan ahli-ahli ke dalam UMNO, saya mahu agar ia dipermudahkan, dan tidak ada halangan atau sekatan seperti yang berlaku sekarang. Sehubungan dengan itu, saya mengarahkan agar pemutihan ke atas senarai pangkalan data ahli-ahli dikemaskinikan segera. Kita tidak perlu berbangga dengan ahli yang ramai tetapi tidak setia, namun kita mahukan ahli yang berkualiti dan setia kepada parti! Saya mencadangkan agar Badan Perhubungan Negeri dan UMNO Bahagian diberi kuasa untuk pelaksanaannya.

LANGKAH 13

79. Pembangunan modal insan dan penyediaan pemimpin pelapis merupakan keutamaan kepada parti. Namun ia harus mengambil kira keupayaan kita untuk melaksanakan semua program yang dirangka. Justeru, saya mengarahkan agar semua program latihan ini diselaraskan di peringkat Pusat oleh Biro Latihan dan Perkaderan UMNO Malaysia, dan menyelaraskannya bersama Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO. Ini bagi memastikan pelaksanaan dan keberkesanan program dapat dicapai mengikut piawaian dan KPI yang ditetapkan. Malah, Pergerakan Pemuda UMNO telah menyediakan modul khusus perkaderan untuk dilaksanakan. Program-program perkaderan ini harus dilaksanakan secara intensif.

LANGKAH 14

80. Perkongsian pintar kesemua maklumat dan informasi di peringkat lokaliti Dewan Undangan Negeri dan Parlimen mestilah diselaraskan. Setiap maklumat mesti disalurkan dengan pantas dan berkesan, sesuai dengan letusan teknologi maklumat dan media sosial yang meluas. Sehubungan itu, saya mencadangkan agar ditubuhkan ‘war-room’ untuk menjadi ‘command center’ di peringkat ibu pejabat. Perhubungan Negeri dan Bahagian-bahagian hendaklah dilibatkan secara konsisten dan kemaskini, bukan secara berkala atau sekali-sekala!

LANGKAH 15

81. Di peringkat Penerangan UMNO Malaysia, saya mengarahkan diperkasakan lagi Jabatan Komunikasi Strategik bagi memastikan program yang mampu menjangkau kumpulan sasaran. Segala dasar dan perancangan parti perlu diketahui oleh ahli akar umbi. Penubuhan jabatan ini penting agar program parti dapat dijalankan dengan lebih berkesan mengikut keutamaan. Ini bagi membolehkan parti melaksanakan komunikasi bersepadu kepada kumpulan sasar menerusi teknologi maklumat. Ahli-ahli UMNO perlu bergerak aktif dalam menyebarluas maklumat dan menangkis setiap tohmahan.

TERAS KEEMPAT: HAK KUASA ISTIMEWA

Saudara dan Saudari sekalian,

82. Saya sedar dalam PRU-14 yang lalu, UMNO hanya menang di dua buah negeri iaitu Perlis dan Pahang.

LANGKAH 16

83. Berdasarkan post-mortem dan hasil perbincangan di pemukiman, kita dapati peranan Badan Perhubungan UMNO Negeri harus diberikan kuasa-kuasa tertentu untuk memberi lebih ruang kepada mereka membuat keputusan. Kita bersetuju dengan penurunan kuasa ini yang melibatkan jentera, pengurusan dan hal-ehwal disiplin parti serta melakukan penyelarasan aktiviti ke akar umbi dalam usaha merakyatkan parti.

84. Ini membolehkan pengurusan di peringkat negeri lebih sistematik dan tidak terlalu bergantung serta terikat dengan Pusat. Mereka ada kuasa untuk mempengaruhi sentimen ahli negeri masing-masing.

LANGKAH 17

85. Ingin saya ingatkan, kerajaan kita dahulu telah pun menubuhkan Jawatankuasa Penurunan Hak-Hak Sabah dan Sarawak bagi mengkaji dan memastikan hak-hak mereka diperinci dan dikembalikan selaras dengan Perjanjian Penubuhan Malaysia 1963 (MA63).

86. Ini bagi menjamin kemakmuran ekonomi yang adil di Sabah dan Sarawak, seperti mana yang dikecapi di Semenanjung. Saya menyeru kerajaan hari ini, agar meneruskan agenda pemberian 20% hasil royalti minyak dan gas kepada rakyat Sabah dan Sarawak, sebagaimana yang termaktub di dalam manifesto mereka.

87. Hormatilah hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak, dan janganlah dipermainkan untung nasib mereka. TIDAK USAH BERDOLAK-DALIK LAGI, APA YANG DIJANJI HENDAKLAH DITEPATI, KATA HENDAKLAH DIKOTA!

88. Sudah sampai masanya beberapa dasar penurunan kuasa istimewa politik dilaksanakan untuk negeri Sabah, sesuai dengan perubahan landskap politik hari ini. Saya mengumumkan bahawa sebuah Jawatankuasa Khas telah dibentuk untuk pelaksanaan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Badan Perhubungan UMNO Sabah.

89. Saya ada menerima memorandum daripada UMNO Sabah agar Majlis Kerja Tertinggi membuat pertimbangan, antaranya mengenai pemberian autonomi kepada UMNO Sabah dalam aspek khusus berpandukan kepada Perlembagaan dan Peraturan Parti.

90. Autonomi merujuk kepada tadbir urus sendiri ke atas perkara-perkara yang ditetapkan di bawah undang-undang atau peraturan parti. Antaranya ialah untuk memperjuangkan hak-hak dan kepentingan anak negeri, Bumiputera dan masyarakat negeri Sabah secara keseluruhannya.

91. Mesyuarat Agung Luar Biasa akan diadakan bagi memutuskan perkara ini dan perkara-perkara lain yang memerlukan pindaan Perlembagaan UMNO. Pada dasarnya kami menerima syor-syor tersebut.
TERAS KELIMA: MUAFAKAT POLITIK

Saudara dan Saudari sekalian,

LANGKAH 18

92. Hari ini, UMNO menjadi pembangkang. Inilah realitinya. UMNO tidak boleh lagi ada mentaliti sebagai kerajaan. Sebagai pembangkang, kita harus bertaut dengan rakan-rakan pembangkang yang lain. Ini kerana musuh kita adalah sama. Sudah lama kita melakukan kerjasama politik ataupun Tahaluf Siasi dengan MCA, MIC, MyPPP, PBRS dan parti komponen lain dalam Barisan Nasional.

93. Namun, perlu di terima hakikat, kita akan meneruskan kerjasama dalam Gagasan Pembangkang di atas semangat Ta’awun, iaitu kerjasama untuk kemaslahatan bersama, tidak terikat dan bebas dengan cara yang tersendiri.

94. Kerana itu kita yakin bahawa parti-parti berasaskan kaum, bangsa atau etnik bukanlah suatu perkara buruk atau terkebelakang. Dalam sejarah UMNO selama 72 tahun serta sejarah Perikatan dan Barisan Nasional, tidak pernah terjadi negeri-negeri tidak boleh meneruskan mesyuarat agung tahunan, seperti yang berlaku dalam sebuah parti. Temasya baling kerusi dan pukul memukul seolah-olah menjadi sebahagian daripada agenda mesyuarat mereka. Ini bukan amalan kita selama ini!

95. Demi kepentingan rakyat, pintu UMNO sentiasa terbuka untuk jalinan kerjasama dengan sebarang parti politik, asalkan prinsip UMNO tidak tergadai atas jalinan politik itu nanti. KITA TIDAK RELA UMNO DIBUBARKAN!

LANGKAH 19

96. Sebagai Pengerusi Barisan Nasional, saya telah mengambil kira secara serius berhubung hala tuju dan permuafakatan kita. Tindakan segera mesti dilakukan bagi membina keyakinan rakyat. SUKA SAYA MENGUMUMKAN, BARISAN NASIONAL AKAN DIJENAMAKAN SEMULA SEBAIK SAHAJA PERUNDINGAN DENGAN RAKAN-RAKAN KOMPONEN YANG SEDIA ADA SELESAI DAN DIMUKTAMADKAN! Cadangannya, parti gabungan ini bakal dianggotai dengan entiti-entiti berikut:

i. Parti-parti teras merangkumi UMNO, MCA, MIC, MyPPP, dan PBRS
ii. Parti-parti gabungan lain yang memahami aspirasi dan idealisme perjuangan bersama
iii. Parti politik mesra UMNO yang selama ini banyak membantu dan menyokong
iv. Badan Bukan Kerajaan (NGO)
v. Individu ahli langsung (direct membership) iaitu pendekatan di mana individu boleh menjadi ahli Barisan Nasional tanpa melalui mana-mana parti politik

97. Inilah yang akan kita lakukan dalam penjenamaan semula Barisan Nasional

TERAS KEENAM: KERAJAAN MENANTI

Saudara dan Saudari sekalian,

LANGKAH 20

98. Biarpun tidak dapat membentuk kerajaan, UMNO merupakan sebuah parti paling dominan berdasarkan keputusan PRU-14. Sebab itu nilai pemimpin UMNO yang menang pada pilihan raya umum lalu, adalah mahal harganya.

99. Dengan kegagalan kerajaan menunaikan janji manifesto dan beberapa dasar flip-flop telah membangkitkan kemarahan rakyat, saya percaya UMNO mempunyai harapan cerah untuk mendapat kembali kepercayaan rakyat.

100. Saya telah mewujudkan 4 kluster bagi memastikan prestasi kerajaan hari ini dipantau dengan teliti. Fungsi dan tugas jawatankuasa ini adalah seakan-akan ‘kabinet bayangan’ dan ia adalah seperti berikut:

KLUSTER PERTAMA: Jabatan Perdana Menteri, Perundangan, Sumber Manusia dan Keselamatan
KLUSTER KEDUA: Kewangan, Ekonomi dan Industri
KLUSTER KETIGA: Pendidikan, Sosial dan Budaya
KLUSTER KEEMPAT: Infrastruktur, Teknologi dan Kesihatan

101. Perlu saya tegaskan, kita bukan hanya sebagai pembangkang yang konstruktif dan dinamik, tetapi kita juga adalah KERAJAAN MENANTI atau GOVERNMENT-IN-WAITING!

TERAS KETUJUH: PENGORBANAN JIWA RAGA

Saudara dan Saudari sekalian,

102. Ujian paling besar terhadap ahli UMNO adalah soal pengorbanan. Kepada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang menjadi penggerak di barisan hadapan kita, teruslah bergerak ke cawangan-cawangan, menjadi mata dan telinga parti, terus memperjuangkan nasib anak bangsa kita!

LANGKAH 21

103. Saya mahu agar semangat kesukarelaan ini perlu terus hidup subur dalam parti. Dalam keadaan serba kepayahan ini, semua sayap-sayap parti harus terus bergerak. Ketengahkanlah permasalahan rakyat, perjuangkanlah hak mereka dalam kebajikan, pendidikan, perumahan, pekerjaan, ekonomi dan sebagainya secara berterusan. Berilah mereka pembelaan yang sepatutnya, sekadar yang kita mampu.

104. Saya mendengar semua ucapan dasar Ketua-ketua sayap. Saya bersetuju dengan Ketua Pergerakan Wanita yang mahu memulakan gerak kerja yang baru untuk akar umbi, walaupun sukar tetapi penuh keyakinan. Oleh itu, marilah kita:

i. Mencari titik persamaan bukan garis perbezaan.
Mencari kesatuan dan bukannya perpecahan.
Mencari kekuatan dan bukannya kelemahan.
Bergerak ke hadapan untuk tidak mencurah geram, amarah atau menuding jari mencari salah.
Menjadi wahana untuk bermuhasabah diri dan menilai diri.

ii. Memulakan gerak kerja baru, memanfaatkan sejarah kekuatan dan komitmen dari peringkat akar umbi bagi memulakan langkah, meskipun getir dan sukar tetapi penuh keyakinan.

iii. Bersetuju terhadap saranan penubuhan team penyelidikan, media, strategik dan persepsi untuk menambahbaik serta memperkasakan organisasi sejajar perkembangan politik semasa.

iv. Penubuhan team data politik dan pilihan raya.

v. Penubuhan team prihatin interaktif yang memfokuskan kepada memahami perilaku pengundi secara menyeluruh dengan menumpukan pengumpulan maklumat berdasarkan demografi rakyat.

vi. Menyantuni aktivis dan ahli profesional wanita yang mempunyai pengalaman, pengetahuan serta kepakaran.

vii. Mendekati dan menarik lebih ramai simpatisan UMNO, non-card carrying members dan sukarelawan.

105. Saya juga amat bersetuju dengan saranan Ketua Pergerakan Pemuda yang meminta supaya:

i. Kita menjuarai agenda rakyat,
ii. Menyantuni kepelbagaian anak-anak muda,
iii. Memperkukuhkan nilai inklusif,
iv. Pengislahan Pemuda, serta
v. Melakukan penjenamaan semula Pemuda.

106. Saya juga sehaluan dengan saranan Ketua Pergerakan Puteri iaitu:

i. Akan bekerja keras untuk mengamit sokongan wanita muda untuk terus mendukung dan memberi kepercayaan semula kepada UMNO.

ii. Menggerakkan tenaga profesional muda wanita untuk didekati bagi membantu meraih dan memulihkan UMNO.

iii. Turun ke institusi pengajian tinggi untuk membawa mereka agar turut memahami dan menghayati perjuangan parti.

iv. Bersedia menjadi kumpulan pelapis kepemimpinan, selaras dengan penurunan umur mengundi kepada 18 tahun.

107. Saya yakin Pergerakan Puteri akan bergerak bersama-sama Pergerakan Pemuda untuk memperkukuhkan pelaksanaan program perkaderan bagi memperkasakan kepemimpinan muda UMNO. Ini untuk membolehkan mereka mengambil-alih kepemimpinan UMNO masa depan.

108. Sebagai Presiden UMNO, saya menyelami dan amat memahami hasrat ketiga-tiga sayap parti untuk terus membantu UMNO bagi merealisasikan langkah-langkah hala tuju kita. Saya mengiktiraf semua saranan itu sebagai langkah ke-21 seperti yang saya nyatakan.

RUMUSAN

Saudara dan Saudari sekalian,

109. Berbeza pendapat itu suatu rahmah dan perlu diraikan. Seperti bidalan, bertelingkah antan di lesung, ayam juga yang kenyang! Jangan sampai jong pecah, yu yang kenyang! Jangan sampai perselisihan antara kita, menguntungkan pihak lain. Elakkanlah memberi komen dan menjawab hal-hal berkaitan parti secara terbuka. JANGAN BAGI BOLA TANGGUNG KEPADA PIHAK LAWAN! Kita wajib merapatkan saf kepimpinan dan akar umbi untuk memenangi hati rakyat. Hentikanlah perbalahan dan persengketaan dalam kalangan kita demi kelangsungan perjuangan UMNO.

110. Dalam membina kembali kekuatan keluarga besar UMNO, perbezaan mesti disantuni dengan penuh kebijaksanaan.

Elok basa kan bekal hidup,
Elok budi kan bekal mati!

Yang lorek itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang molek itu budi,
Yang indah itu bahasa.

111. DALAM SAAT KESUSAHAN DAN KEPAYAHAN, JANGAN ADA DALAM KALANGAN KITA MENGAMBIL KESEMPATAN DALAM KESEMPITAN! Saya mengharapkan agar semua ahli dan saf kepimpinan merapatkan barisan dan tingkatkan kemuafakatan. Ayuh, junjunglah rakyat dan letakkanlah parti mengatasi segala-galanya! Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

112. Kita perlu menghormati pemimpin-pemimpin terdahulu yang telah memimpin kita selama ini, dan masih terus bersama-sama kita. Biarpun kepayahan sedang melanda namun berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kita juga hendaklah terus memanjatkan doa, agar sebarang musibah yang sedang dihadapi akan dilalui dengan penuh ketenangan, dan rasa redha serta tawakal kepada Allah SWT.

113. Saya tertarik dengan bidalan, “tiada yang lama sudah pasti tiadalah yang baharu”. Yang lama menyayangi yang baharu, yang baharu menghormati yang lama. Bak kata Allahyarham Tun Ghaffar Baba, “kalau pelepah bawah jatuh, pelepah atas jangan ketawa”. SESUNGGUHNYA SIFAT TERLAMPAU YAKIN SEHINGGA MENIMBULKAN KEANGKUHAN, TIDAK ADA TEMPAT DI DALAM UMNO!

114. Kepada para perwakilan, marilah kita bersidang dengan penuh tanggungjawab dan berbincang dalam usaha membina semula UMNO.

115. Marilah kita bina UMNO sebagai parti yang penuh falsafah dan berideologi perjuangan. Kita raikan kepelbagaian yang ada di hadapan kita. Mari kita berusaha dan bersedia menjadi kerajaan semula dalam waktu yang terdekat, atau selepas PRU-15 nanti.

116. Saya yakin kita semua tahu dan percaya, untuk membina keyakinan rakyat terhadap UMNO, kita sebagai ahli dan pemimpin hendaklah terlebih dahulu yakin kepada diri kita sendiri, bahawa kita boleh melakukan apa sahaja yang telah kita gariskan dalam perancangan parti kita.

117. Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha mengukuhkan parti dengan mengukuhkan diri kita terlebih dahulu. Tingkatkan iman dan ketaqwaan, kerana dari situlah bermulanya titik-tolak survival perjuangan kita. Jadikan perjuangan ini suatu jihad yang amat bermakna bagi setiap diri kita.

118. Pada musim saya diamanahkan menjadi Presiden, yang saya terima dengan penuh rasa tawadhuk, saya amat mengharapkan agar kita mampu memulihkan UMNO yang telah jatuh daripada persada kerajaan ini, untuk bergerak sebagai suatu pasukan yang mantap, kukuh dan digeruni.

119. Marilah, kita pandang ke hadapan lebih kerap daripada kita saling memerhati rakan-rakan seperjuangan kita. Kita kerahkan tenaga ke arah menggerakkan parti, dan bukan mengumpul cacat-cela rakan-rakan kita. Kita semua adalah manusia, tidak ada yang sempurna

120. Untuk itu,

BANGKITLAH SAUDARA-SAUDARA SEKALIAN!
BANGKITLAH MENYAMBUNG PERJUANGAN INI!
BANGKITLAH MELAUNGKAN SEMANGAT INI!

HIDUP UMNO!
HIDUP MELAYU!
HIDUP RAKYAT!
HIDUP MALAYSIA!

UMNO… (bangkit)
UMNO… (bangkit)
UMNO… (bangkit)

ALLAHUAKBAR!
ALLAHUAKBAR!
ALLAHUAKBAR!

121. Kepada Allah SWT kita berserah. Dengan nama Allah SWT yang Maha Pengasih dan Penyayang, maka dengan lafaz “Fassabih biham dirob bikawas taghfir innahu kanatau waba”, saya dengan segala sukacitanya merasmikan ‘PERHIMPUNAN AGUNG UMNO BAGI TAHUN 2018’. Semoga Allah memberkati perjuangan kita.

Sekian, terima kasih.


KUALA LUMPUR, 29 Sept – Berikut merupakan teks Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO Malaysia.

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh,

SIDANG PERWAKILAN PEMUDA SEKALIAN,
1. Alhamdulillah dengan setinggi rasa syukur kepada Allah S.W.T dan iringan semangat ukhuwwah serta perjuangan, saya mewakili saf kepimpinan Pergerakan PEMUDA Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Malaysia mengalu-alukan kehadiran para perwakilan, pemerhati dan para jemputan seluruh negara ke Perhimpunan Agong Pergerakan PEMUDA UMNO 2018.

2. Walaupun parti UMNO bukan lagi berada di puncak kuasa, namun dengan hati yang tulus ikhlas dari Perlis sampailah ke Sabah, kita hadir pada hari ini atas nama sebuah perjuangan. Saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh kerabat PEMUDA terutamanya Ketua-ketua PEMUDA Bahagian, Naib-Naib Ketua PEMUDA Bahagian dan saf-saf kepimpinan PEMUDA Bahagian, kerana kalian adalah pejuang sejati.

3. Dalam sejarah dan tradisi UMNO, Perhimpunan Agong bukan sekadar rutin tahunan, bahkan menjadi medan muhasabah terbesar untuk menilai prestasi parti dalam menggarap aspirasi rakyat, memperteguh idealisme Islam, mereformasi kelemahan organisasi dan merangka garis-garis besar bagi menentukan haluan perjuangan.

4. Selepas 7 dasawarsa, kita berhimpun dalam suasana penuh keinsafan dan kesedaran kerana buat pertama kalinya dalam sejarah, bahtera UMNO ini hampir karam, nakhodanya bertukar, layarnya koyak rabak dan anak-anak kapalnya tidak ketentuan. Malah lebih parah lagi, ada Juragan yang terjun meninggalkan bahtera.

5. Tentu sekali dalam keadaan sebegini, eloklah kita berlabuh seketika di dermaga, membina kembali barisan kemudi bahtera dan anak-anak kapalnya. Mengganti dayung yang patah, menampal layar yang carik, membina kembali kekuatan sebelum meneruskan pelayaran biarpun kita ketahui badai dan ombak yang bakal melanda cukup hebat.

6. Namun percayalah bahtera ini kita warisi daripada sebuah perjuangan yang ikhlas dan suci, walaupun nakhoda dan kelasinya datang dan pergi, silih berganti, hakikatnya semuanya ada jasa dan budi. Yang buruk kita jadikan sempadan, yang baik jadikan azimat untuk kita terus mengemudi bahtera perjuangan ini.

7. Untuk itu, mewakili seluruh saf kepimpinan Pergerakan PEMUDA, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan setinggi penghargaan kepada YB KHAIRY JAMALUDDIN ABU BAKAR serta seluruh saf kepimpinan terdahulu atas segala segala jasa dan sumbangan yang dicurahkan buat parti kita ini.

MUHASABAH DI SEBALIK KEKALAHAN
Sahabat-sahabat Seperjuangan Sekalian,
8. Tanggal 9 Mei 2018 pastinya tercatat sebagai sejarah hitam yang tidak dapat dilupakan. UMNO dan Barisan Nasional (BN) menerima kekalahan dalam Pilihanraya Umum ke-14. Buat pertama kali sejak merdeka, UMNO hilang kuasa kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri kecuali di Pahang dan Perlis.

9. Kita menerima kekalahan ini dengan penuh SEDAR dan INSAF, sebagai takdir yang telah ditentukan oleh ALLAH ‘AZZA WAJALLA. Inilah hukuman rakyat kepada kita. Dahulu, mereka mendokong dan mengangkat kita tetapi kerana sikap kealpaan kita, mereka menolak dan hilang keyakinan terhadap kita, lantas dengan mudah rakyat memberikan undi mereka kepada lawan kita.

10. Terimalah kekalahan ini. Terimalah kekalahan dengan hati yang terbuka. Percayalah, kekalahan ini bukan kerana musuh kita kuat dan hebat. Tetapi kekalahan ini berlaku kerana kesilapan dan salahlaku kita sendiri. Kita tewas lantaran tingkah kita yang bertentangan dengan norma hukum dan bercanggah dengan budaya bangsa kita. Maka Allah SWT menghukum kita dengan balasan kekalahan yang amat perit sekali.

11. Kerana pangkat dan kuasa, kita berantakan sesama sendiri. Kerana mengejar harta dan khazanah, kita sanggup mencantas sesama ahli. Akhirnya kita tergelincir hingga perjuangan Melayu dan Islam sanggup kita perjudi dan khianati.

12. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat 16:
“Dan jika Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, maka Kami perintahkan (terlebih dahulu) orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya mentaati Allah), tetapi mereka melakukan penderhakaan dan kefasikan, maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya”.

13. Ayat ini umpama “Menepuk Air di Dulang Terpercik ke Muka Sendiri”. Hakikatnya kitalah penduduk negeri yang digambarkan Allah dengan limpahan kemewahan dan kemasyhuran selama lebih 60 tahun di puncak kuasa. Malangnya, kita kufur atas nikmat kurniaan Allah itu, kita ingkar dengan perintahNya, kuasa yang ada digunakan untuk mewajarkan segala kecurangan dan pengkhianatan tanpa peduli dosa, naluri dan perasaan rakyat.

14. Hakikatnya yang bersalah bukan UMNO. Mana mungkin parti yang memerdekakan negara ini begitu buruk sekali takdirnya. Mana mungkin parti yang telah mengangkat martabat Islam begitu hodoh sekali rupanya. Yang perlu dipersalahkan adalah para pendokong dan pemegang amanah perjuangan UMNO yang telah mengkhianati dan menanggalkan idealisme perjuangan serta meleburkan pedoman Islam.

15. Justeru, ini adalah waktu terbaik untuk kita melihat siapakah pemimpin yang benar-benar setia kepada perjuangan ini? Setia kepada perjuangan bukan hanya di waktu berkuasa. Setia kepada perjuangan bukan hanya di saat dilimpahi kesenangan. Tetapi setia yang sejati adalah di saat UMNO sedang diuji dengan pelbagai mehnah dan dugaan.

16. Bukan seperti segelintir pimpinan yang telah meninggalkan kita di kala UMNO dilanda badai. Kononnya lompat kerana prinsip perjuangan, kalau tiada angin masakan pokok boleh bergoyang…kami tahu sebabsebabnya….! Ingatlah UMNO yang kalian sisihkan inilah, yang pernah menatang anda di waktu senang, mendokong anda hingga ke puncak. Ingatlah jerit perih wanita yang setia memerah keringat turun naik dari rumah ke rumah, puteri-puteri meninggalkan anak-anak yang masih kecil di rumah hanya untuk memenangkan kalian

17. PEMUDA dengan ini mendesak pucuk pimpinan agar mengambil tindakan tegas buat petualang-petualang ini termasuklah tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanding atas nama parti, memanfaatkan jentera parti dan menggunakan wang parti sebelum ini, akhirnya sanggup curang kepada akar umbi.

18. Bagi PEMUDA kami tidak sesekali menjadi “Seludang Menolak Mayang”, melupakan parti yang banyak jasanya kepada kita. Malah kita akan terus setia bersama wadah keramat ini bak kata pujangga “Sakit Sama Mengaduh, Luka Sama Mengeluh”. Bahkan jika satu ketika kita hilang kemudi hatta nakhoda sekalipun, kami PEMUDA UMNO tidak akan undur walau selangkah meninggalkan wadah. Sekalipun jika di waktu itu semua beralih arah meninggalkan UMNO dan kalian terpandang di belakang, hanya seorang sahaja yang tinggal memegang panji UMNO, maka dialah PEMUDA UMNO.

KEMBALI KEPADA AKAR PERJUANGAN

Sahabat-sahabat Seperjuangan Sekalian,
19. Saya yakin, masih ramai yang sayangkan UMNO. Tetapi terlalu banyak persepsi buruk dicampakkan ke atas UMNO sekaligus terpalit kepada kita yang masih berada dalam parti. Persoalannya:
• BOLEHKAH KITA MENJERNIHKAN KEMBALI PERSEPSI BURUK INI?
• MAMPUKAH KITA MEMBERSIHKAN SEGALA IMEJ NEGATIF TERHADAP PARTI UMNO INI?
• UPAYAKAH KITA MENGEMBALIKAN KEPERCAYAAN RAKYAT TERHADAP AGENDA PERJUANGAN UMNO?

20. Realitinya, generasi PEMUDA mewarisi bahtera UMNO yang hampir karam. Namun, wahai PEMUDA-PEMUDAKU! Janganlah terus dirundung kehampaan, janganlah terus diselimuti rasa kekecewaan. Kita hakikatnya mampu bangkit kembali. Ini bukan omongan kosong. Kita bukannya “Membakar Air Hendakkan Abu”. Inilah yang selalu saya tekankan pada setiap kali turun ke lapangan sejak 3 bulan lalu, bagaimana pengajaran tragedi Uhud yang merakamkan peristiwa kekalahan tentera Islam, lantaran ingkar perintah Nabi SAW pada awalnya, namun dijanjikan Allah untuk kembali bangkit memperoleh kemenangan.
“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang telah menimpa kamu), padahal kamulah orang yang bakal diangkat martabatnya kembali (mencapai kemenangan) jika kamu benar-benar beriman.”

21. Inilah harapan. Inilah prasyarat kebangkitan. Syarat utama untuk UMNO bangkit kembali daripada kekalahan, adalah untuk kita PEMUDA kembali kepada akar keimanan dan tunjang agama. PENEGASAN IDEALISME PERJUANGAN MELAYU-ISLAM Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,

22. Selama 7 dekad UMNO di persada politik negara, UMNO tidak pernah bersifat ekstrim baik KE KANAN (atau istilah popular hari ini; far right/ rightist) mahupun KE KIRI (far-left/leftist). Ertinya parti ini sentiasa berada di jaluran tengah atau istilah Al-Qurannya: Wasatiyyah yang membawa makna Adil, Cemerlang dan Seimbang.

23. Orientasi Wasatiyyah yang mendasari perjuangan UMNO ini bukan sekadar retorika slogan. Perjuangan Islam yang dipelopori UMNO juga bukan hanya sekadar sorakan semangat laungan takbir semata-mata. Perjuangan Islam UMNO jauh sekali mewajarkan gejala PELAMPAUAN ektrimisme mahupun perbuatan melonggarkan agama atau liberalisme.

24. Sebaliknya orientasi Wasatiyyah yang diperjuangkan UMNO inilah yang telah diterjemahkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan dijadikan asas kepada segala dasar, polisi dan program dalam membina negara bangsa yang berbilang agama dan kaum. Sehingga negara lain menghormati Malaysia sebagai negara Islam yang progresif, aman dan sederhana.

25. Semua ini kerana kita memahami ajaran Islam yang sifatnya memberi kesejahteraan dan rahmat kepada semua tanpa mengira agama dan bangsa sebagaimana yang terungkap melalui konsep Rahmatan Lil Aalamin iaitu kesejahteraan kepada seluruh alam. Seiring dengan firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya’ ayat 107;
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau ( wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”

26. Sejajar dengan itu PEMUDA menyokong penuh mana-mana pihak yang ingin mengangkat wacana Rahmatan Lil ‘Aalamin ini. Namun PEMUDA ingin tegaskan konsep Rahmatan Lil ‘Aalamin mestilah benar-benar difahami dan diselami maknanya yang asli berpandukan suluhan ilmu yang benar dan panduan ulamak yang jelas.

27. PEMUDA ingin mengingatkan, jangan sesekali memperdagangkan konsep ini hanya untuk meraih undi. Jangan berselindung di sebalik Rahmatan Lil ‘Aalamin demi kepentingan politik parti. Jangan sesekali mempromosi konsep ini demi menghalalkan dasar kebebasan dan keterbukaan tanpa batas sehingga menampakkan kerajaan ‘Malaysia Baharu’ seakan mula lunak meraikan mahupun membuka ruang kepada ideologi-ideologi songsang seperti Syiah, Qadiani mahupun kelompok LGBT. AGENDA MELAYU BUKAN RASIS Sidang Perwakilan Sahabat Perjuangan Sekalian,

28. Yang menyedihkan, Pasca PRU-14, makin banyak suara-suara sumbang yang meremehkan perjuangan kita berpaksikan Melayu dan Islam. Seolah-olah keputusan PRU-14 mencerminkan kehendak majoriti rakyat yang menolak politik berasaskan kaum dan agama. Sedangkan tidak ada satu kajian yang membuktikan kenyataan itu.

29. Sebaliknya, kebanyakan kajian yang dijalankan badan bebas dan berkecuali menggariskan pelbagai faktor lain yang menyumbang kepada penolakan rakyat kepada UMNO dan BN, seperti skandal kepemimpinan dalam kes 1MDB, kelemahan urus tadbir, integriti, kos sara hidup, dan GST yang menyentuh tentang perasaan dan perut rakyat yang tiada kaitan sama sekali dengan orientasi perjuangan memartabatkan Bumiputera-Melayu-Islam.

30. Lebih menyedihkan apabila ada di kalangan pemimpin UMNO sendiri yang mula rasa bersalah atau “apologetic” apabila berbicara mengenai agenda Agama dan Bangsa.

31. Persoalannya kenapa kita perlu rasa malu dan bersalah dengan agenda Melayu, Islam dan Bumiputera? Seolah-olah memperjuangkan Bangsa dan Agama sebagaimana yang terpateri dalam Perlembagaan ini suatu yang hina dan rasis. Sedangkan bangsa lain yang berjuang menegakkan hak dan kepentingan mereka, sehingga kadangkala melangkaui batas Perlembagaan tidak pula dianggap rasis bahkan dijustifikasi pula atas nama hak asasi.

32. RASIS! Kamus Oxford memaknakannya sebagai satu kefahaman bahawa sesuatu bangsa itu lebih mulia berbanding bangsa lain hingga menebal nilai prejudis yang membawa kepada perlakuan diskriminatif dan menindas hak bangsa lain kerana dianggap lebih rendah martabatnya berbanding bangsa mereka.

33. Sekali lagi saya ingin bertanya: Adakah UMNO selama ini bersikap rasis saudara-saudara? Adakah sepanjang 60 tahun UMNO menakhodai kerajaan, bangsa lain ditindas dan dinafikan hak mereka? Adakah agama lain juga diperkotak-katikkan oleh kita?

34. UMNO tidak pernah mendakwa Melayu-Bumiputera lebih mulia daripada bangsa lain. UMNO juga tidak pernah mendesak Kerajaan melaksanakan dasar menindas sehingga menafikan hak bangsa lain seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

35. Sebaliknya perjuangan UMNO sentiasa bersifat inklusif. Apabila kita berjuang untuk Melayu, kita juga berjuang untuk bangsa lain. Apabila kita berjuang untuk Islam, kita juga mempertahankan hak agama-agama lain. Kerana inilah tradisi kita. Inilah fitrah kita. Fitrah orang Melayu yang sentiasa menyantuni. Fitrah orang Melayu yang tinggi toleransi. Fitrah orang Melayu yang diakari oleh ajaran Islam yang menuntut kita untuk sentiasa menghormati agama-agama dan bangsa-bangsa lain.

36. Sebab itulah sepanjang menerajui pemerintahan, UMNO melaksanakan pelbagai dasar yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan tanpa mengira agama dan bangsa secara saksama. Bahkan sehingga hari ini, kekayaan dan kemewahan ekonomi yang dinikmati oleh bangsa minoriti tidak pernah sesekali dipersoalkan, jauh sekali untuk dizalimi hak mereka untuk hidup mewah dalam negara ini.

37. Cuma saya ingin mengingatkan kepada segelintir puak yang mula angkuh, jangan sesekali lupa daratan, jangan dijolok sarang tebuan, diberi betis, jangan pula mengidamkan peha. Ingatlah bidalan sasterawan negara Almarhum Usman Awang: Watak Melayu menolak permusuhan Setia dan sabar tiada sempadan Tapi jika marah tidak nampak telinga Musuh dicari ke lubang cacing Tak dapat tanduk telinga dijinjing Maruah dan agama dihina jangan Hebat amuknya tak kenal lawan

KECELARUAN ‘MALAYSIA BAHARU’
Saudara-saudara sidang perwakilan sekalian,

38. Apa yang saya lakarkan ini adalah untuk kita lebih meyakini akan akar perjuangan parti kita, sekaligus tidak sesekali berkompromi dengan apa jua bentuk idealogi-ideologi era pasca-moden yang mula berani menjelmakan wajah-wajah mereka dibawah pemerintahan baru Kerajaan Pakatan Harapan.

39. Hakikatnya, PEMUDA UMNO merasakan bahawa era “Malaysia Baharu” kini diselaputi dengan pelbagai kecelaruan. Kecelaruan dari segi politik dan pentadbiran, kecelaruan dalam aspek perundangan, kecelaruan dalam pengurusan ekonomi negara dan lebih membimbangkan apabila rakyat turut dicelarukan dengan pelbagai penyimpangan agama dan nilai.

40. Nampaknya Kerajaan hari ini kalau mengikut bidalan Melayu lama “Agak Lebih, Daripada Agih” iaitu lebih banyak bercakap dan menyalah daripada bekerja. Lebih banyak berdalih daripada cuba mengota “Seperti Air Besar Sampah Tak Hanyut” dengan pelbagai harapan dan janji-janji yang akhirnya dikhianati.

41. Kononnya nak hapuskan hutang PTPTN sehinggakan orang muda berjaya diumpan untuk menukar kerajaan, tetapi bila berkuasa, maruah mereka pula disergah dengan melabelkan mereka tidak tahu malu kerana tak bayar hutang.

42. Kononnya atas dasar penjimatan, BR1M, bantuan sara hidup nelayan, kenaikan gaji penjawat awam tidak diteruskan, tetapi pada masa sama projek-projek yang menguntungkan para kroni dan kapitalis seperti Projek Kereta Nasional Ke-3 hendak dibangunkan semula.

43. Kononnya nak bela warga kota yang terbeban kos sara hidup dengan menghapuskan tol, tetapi bila sudah menang bagi alasan kerajaan pula yang terbeban kerana kos pengambil-alihan konsesi tol mencecah RM400 Bilion.

44. Kononnya nak mengangkat “Rule of Law”, tetapi satu persatu norma perundangan dan kehakiman dicabuli, kes-kes melibatkan kepimpinan kerajaan digugurkan sesuka hati, pemimpin-pemimpin pembangkang pula dimalukan sebelum dibicarakan, dihukum sebelum disabitkan. Di manakah ‘Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang’ yang dicanangkan? Ini semua bukti dendam kesumat, kerakusan dan keserakahan Sang Penguasa sehingga dirobek ‘Kesopanan Dan Kesusilaan’. Kita ingat kerajaan Malaysia Baru ini benar-benar nak angkat “Rule of Law” tetapi rupa-rupanya “Law of the Jungle”.

45. Akhirnya rakyat semakin keliru, negara makin celaru. Tidak tahu fakta mana yang betul. Sekejap kata hutang negara mencecah RM 1 trillion (berbanding catatan rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) RM725.8 billion setakat suku tahun kedua 2018), tetapi setelah berlakunya aliran keluar modal secara besar-besaran, mencecah RM38.27 billion lantaran cemas dengan pendedahan ini (hingga menjejaskan Bursa Saham Malaysia), keluar pula kenyataan yang berbeza.

46. Sekejap kata negara akan bankrap, tetapi baru 4 bulan berkuasa YB Menteri sekali lagi ubah kenyataan asal, mendakwa ekonomi kembali kukuh. ‘Pelik bin Ajaib’, ‘Jampi Serapah’ apa yang digunakan boleh merubah negara yang bankrap menjadi hebat dalam tempoh yang singkat. Itu tidak termasuk salah titik perpuluhan tatkala cuba menyalah kerajaan lama berkenaan angka baki tabung bayaran balik GST.

47. Memang wajarlah kita syorkan Menteri ‘Hentam Saja’ dinobatkan ‘Menteri Kewangan Terbaik Dunia’ kerana tidak pernah dalam sejarah dunia sebuah negara berubah cemerlang hanya 4 bulan berkuasa. Cuma sayangnya beliau rupa-rupanya berhati tisu.

48. Ini baru karenah seorang Menteri, belum lagi Menteri-menteri lain yang berterusan mengeluarkan kenyataan demi kenyataan memperbodohkan rakyat.

49. Ada Menteri yang kononnya tunjuk prihatin kepada kos sara hidup nelayan setelah dia sendiri mansuhkan segala subsidi dan sara hidup bulanan, dicadangkan pula menanam nenas dan rambutan di belakang rumah bagi menambah pendapatan. Inilah agaknya pandangan luar kotak ‘out of box’ pak menteri, mencetuskan inovasi penanaman nenas dan rambutan di kawasan tanah pasir.

50. Ada pula Menteri yang bangga mendedahkan rahsia keselamatan dan pertahanan negara kononnya hanya 4 sahaja pesawat pejuang negara yang boleh terbang. Tapi pada hari sambutan Kemerdekaan kita dipersembahkan dengan lintas hormat puluhan jet-jet pejuang yang megah terbang. Namun apabila datang daripada seorang Menteri daripada sebuah parti yang kuat melaungkan Rahmatan Lil ‘Aalamin, kita kena bersangka baik, agaknya disewa khas dari Negara Iran.

51. Ada juga Menteri yang begitu teruja untuk menzahirkan keterbukaan, memperjuangkan kebebasan, meraikan semua kelompok minoriti walaupun ada yang sesat lagi menyesatkan. Ada yang dilayan bak raja sehinggakan isu tandas merekapun menjadi agenda nasional. Dahulu Kerajaan BN mengangkat martabat golongan OKU sehingga kemudahan tandas mereka kita bela. Datang Menteri Malaysia Baharu, senang-senang nak menyerahkan hak OKU yang kita bela.

52. Ada juga Menteri yang bijaksana dan bernas pandangannya. Status facebook beliau yang cukup mengesankan saya sehingga hari ini “Pemimpin Yang Bodoh Lahir Dari Tangan Pengundi Yang Bodoh”. Tapi jangan salah faham tuan-tuan, itu status tahun 2015, mungkin lain pandangannya hari ini bila sudah dipilih rakyat dan bergelar YB.

53. Ini hanyalah sebahagian koleksi-koleksi kenyataan Anggota Pentadbiran Kerajaan Baharu yang sempat dikongsikan. Banyak lagi kecelaruan yang dicetuskan oleh Kerajaan Baharu. Sandiwara yang mereka persembahkan setakat hari ini tidak ubah seperti “Berlindung Di Sebalik Telunjuk”, “Sudah Palit, Mudah Pula Mencalit”.

54. Mungkin inilah sebabnya Perdana Menteri semacam sudah hilang percaya dan yakin kepada Memanda Menteri-menterinya sendiri, sehinggakan terpaksa mengekalkan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) walaupun janjinya hanya untuk 100 hari. Tapi kita sudah tidak hairan dengan Janji 100 Hari kerana bak kata Perdana Menteri “Manifesto Bukan Kitab Suci”.

55. Namun PEMUDA ingin tegaskan, janji itu adalah sesuatu yang wajib dipenuhi. Ia adalah tuntutan agama yang tidak wajar dikhianati.
“Wahai Orang Beriman, Wajib Atas Kamu Untuk Mengota segala Janji” (Al-Maidah:1) Apatah lagi sebagai sebuah kerajaan yang perlu membangunkan nilai yang betul kepada rakyat. Mandat rakyat kepada kepimpinan bukan sahaja memenuhi tuntutan pentadbiran tetapi juga menyemai nilai dan moral untuk diteladani.

56. Apa guna mendapat mandat jika berterusan menipu rakyat. Apa guna di Putrajaya kalau kata tak dikota. Apa guna menabur janji tapi akhirnya untuk dikhianati. Benarlah peribahasa Melayu yang dipetik oleh Pak Menteri, “Siakap Senohong Gelama Ikan Duri, Bercakap Bohong Lama-Lama…..?” 14 UCAPAN DASAR ketua pemuda umno TERAS KEBANGKITAN PEMUDA Saudara-saudara rakan seperjuangan

57. Tujuan dibentangkan dan dihidangkan segala kecelaruan dan kebobrokan Kerajaan yang ada pada hari ini bukan sekadar untuk dipersendakan. Segala kelemahan Kerajaan Malaysia Baharu bukannya alasan untuk kita mendabik dada dan memeluk tubuh menantikan buah jatuh ke tanah atau bulan jatuh ke riba.

58. Sebaliknya PEMUDA wajib bangkit. Kita bangkit bukan hanya memenuhi tuntutan parti, tetapi kita bangkit untuk kembali membela rakyat, agar rakyat tidak berterusan diperbodohkan. Kita bangkit untuk memerdekakan minda rakyat, agar rakyat tidak terus terjajah dengan segala fatamorgana janji-janji palsu yang mengujakan.

59. Justeru, saya ingin melakarkan lima (5) TERAS KEBANGKITAN BUAT PEMUDA yang akan menjadi ‘azimat’ buat kita semua dalam menggerakkan agenda penting mengukuhkan dan mereformasi parti sekaligus untuk mendapatkan kembali sokongan dan dokongan rakyat.

60. 5 Teras Kebangkitan PEMUDA yang dimaksudkan adalah:
a. Menjuarai Agenda Rakyat
b. Menyantuni Kepelbagaian Anak Muda
c. Memperkukuh Nilai Inklusif
d. Pengislahan PEMUDA
e. Penjenamaan Semula

PEMUDA TERAS PERTAMA : MENJUARAI AGENDA RAKYAT
Saudara-saudara sahabat seperjuangan,
61. Sebagaimana di awal bicara, kita dihukum dan ditolak oleh rakyat lantaran kealpaan dan kelekaan kita tatkala di puncak kuasa. Kita gagal menyelami suara hati rakyat, kita gagal mendengar denyut nadi rakyat. Ketika rakyat bergelut dengan kelangsungan hidup, pemimpin angkuh memperagakan kemewahan diri. Ketika rakyat dilingkari badai dusta dan fitnah, kita gagal menyanjikan jawapan tuntas akibat dipagari rasa selesa sesama sendiri.

62. Justeru, PEMUDA harus bangkit kembali kepada rakyat. Namun, pendekatan kita haruslah berbeza sesuai dengan kedudukan kita sebagai pembangkang. Kalau kita masih mengimpikan untuk kembali ke puncak kuasa, inilah masa dan ketikanya: ‘Menjadi Juara Rakyat’.

63. Menjadi Juara rakyat adalah menjadi pembangkang berwibawa. Menjadi pembangkang berwibawa adalah menjadi lidah penyambung suara rakyat, mata telinga pemelihara kepentingan rakyat.

64. Bagi tujuan ini. PEMUDA harus mula memantau kerajaan dari pucuk pimpinan hinggalah ke peringkat akar umbi. Dari setiap kementerian, jabatan-jabatan hinggalah ke peringkat agensi-agensi negeri, SyarikatSyarikat Milik Kerajaan (GLC) mahupun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Memantau semua polisi, dasar dan projek yang dilaksanakan agar tidak ada lagi penyelewengan, ketirisan mahupun pembaziran. Setiap salah laku dan penyimpangan yang dilakukan baik di peringkat Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, Ahli-Ahli Parlimen hinggalah AhliAhli Dewan Undangan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan mestilah segera dilaporkan dan disuarakan tanpa gusar dan goyah, “without fear and favour”.

65. Pembangkang wibawa juga bukan bermakna kita sekadar membangkang tanpa arah dan tujuan. Sebaliknya jika kita mahu menterjemahkan ‘Government in Waiting’, PEMUDA harus mula menyediakan polisi dan dasar alternatif yang terbaik sebagai ruang kepada rakyat untuk menilai keupayaan kita untuk kembali memerintah.

66. Saya ingin tegaskan menjadi juara rakyat bukan kita menjual-beli maruah rakyat. Kepercayaan rakyat kepada kita bukan untuk dijaja. Amanah rakyat kepada kita bukan untuk digadai demi kepentingan diri.

67. PEMUDA ingin ingatkan, dalam keghairahan segelintir yang masih berkira-kira untuk melompat parti ataupun yang mengintai-ngintai peluang untuk kembali berkuasa melalui pintu belakang, ingatlah parti kita masih bermaruah, jangan sesekali menggadai amanah rakyat. Sekali rakyat rasa dicurangi, dibimbangi parti akan tertolak buat selama-lamanya. “Dari Hidup Bercermin Bangkai, Lebih Baik Mati Berkalang Tanah”

TERAS KEDUA: MENYANTUNI KEPELBAGAIAN ANAK MUDA
Sahabat-Sahabat Sidang Perwakilan Sekalian,
68. Seiring dengan iltizam kita untuk menjuarai agenda rakyat, PEMUDA menyedari komponen rakyat mula didominasi oleh pengundi muda. Realitinya lebih 14 juta rakyat Malaysia adalah anak muda. Barubaru ini pula, Kabinet telah memutuskan untuk menurunkan had umur 16 UCAPAN DASAR ketua pemuda umno pengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun, sekaligus menjadikan tambahan lebih 1.5 juta pengundi muda yang layak untuk mendaftar sebagai pemilih pada PRU akan datang.

69. PEMUDA mengiktiraf bahawa anak-anak muda kini empunya pelbagai recam dan ragam. Dari mereka yang berjanggut tebal hinggalah ke berseluar ketat, dari mereka yang tradisionalis kampung hinggalah ke ‘urban-demokrat’, dari mereka yang ‘Hipster Raver’ hinggalah yang berpencak silat, hatta yang berniaga sendiri hinggalah ke teknokrat.

70. Maka tidak hairanlah jika kerencaman ini melahirkan kepelbagaian ideologi, pemikiran dan pendirian mereka. Anak muda kini lebih terbuka pemikirannya, lebih lantang lidahnya dan lebih berani sikapnya. Pemikirannya juga tidak mahu dikongkong, suaranya tidak mahu dikekang dan tingkah lakunya tidak mahu ditahan.

71. Kepelbagaian ini menuntut kita untuk lebih memahami keperluan mereka, sensitif dengan kehendak mereka dan juga menjiwai aspirasi mereka. Akhirnya PEMUDA tidak boleh sewenang-wenangnya mengikat mereka dengan nilai kita. PEMUDA juga tidak boleh lagi menggunakan pendekatan tipikal dan tradisional dalam menyantuni mereka. Justeru bagi memastikan teras ini menjadi keutamaan PEMUDA saya sarankan dua pendekatan:

72. Pertama, PEMUDA harus memaksimumkan penggunaan teknologi maya untuk berkomunikasi dengan anak muda hari ini, menguasai whatsapp, facebook, twitter, instagram, tik-tok, wee chat dan pelbagai media alternatif yang banyak mempengaruhi sikap, mencorak minda dan membentuk pendirian mereka. Namun, manfaatkanlah teknologi secara berhemah dan tertib, jagalah adab dan nilai. Pamerkan dan zahirkan wibawa dan akhlak kita sebagai pemimpin PEMUDA UMNO di mata rakyat.

73. Kedua, PEMUDA perlu keluar mengenalpasti, mencari dan mendekati anak-anak muda secara fizikal dari kedai mamak sehinggalah ke starbuck, dari celah-celah pokok getah hinggalah ke bangunanbangunan pencakar langit berhawa dingin, dari surau dan masjid ke pusat-pusat karoeke dan hiburan. Bukan untuk kita mencairkan pegangan kita. Tetapi untuk kita lebih menyelami dan melebarkan jalan agar mereka dapat memahami nilai yang kita julangi.
74. Bermula hari ini, PEMUDA ingin tegaskan, tiada lagi pintu-pintu PEMUDA yang ditutup rapi, tiada lagi masalah memohon menjadi ahli berkali-kali. Jaminan saya, tiada lagi bakat-bakat anak Melayu kita yang diketepi, syaratnya mesti mahu ikhlas dan tulus dengan perjuangan UMNO yang kukuh jati diri.

TERAS KETIGA: MEMPERKUKUH NILAI INKLUSIF
Saudara-saudara sahabat seperjuangan,
75. Teras ketiga adalah memperkukuh nilai inklusif. Sejak awal penubuhannya lagi, nilai ini amat sebati dengan orientasi perjuangan UMNO. Kelahiran UMNO adalah berasaskan ijmak cantuman 41 pertubuhan-pertubuhan NGO Melayu dan organisasi Islam, Kemerdekaan Tanah Melayu adalah berasaskan kebijaksanaan UMNO untuk mempelopori nilai inklusif dengan mengajak parti-parti lain yang mewakili pelbagai kaum. Malah pembentukan Malaysia adalah hasil jiwa besar UMNO yang menghayati nilai inklusif untuk mengajak Sabah, Sarawak dan Singapura untuk sama bercantum.

76. Persoalannya, mengapa UMNO hari ini dilihat eksklusif? Parti ini hanya dipandang mewakili golongan tertentu semata-mata. Sebagai wadah politik, UMNO perlu realistik betapa kerelevanannya bergantung kepada nilai kebersamaan dan keterangkuman dengan rakan-rakan strategiknya. Atas asas itu, UMNO perlu lebih menzahirkan nilai inklusif ini sebagai bahtera politik yang mewakili kepelbagaian rakyat Malaysia. Lantaran itu UMNO perlu kembali menyemarakkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak dari pelbagai latar.

77. PEMUDA berpendirian, kerjasama yang ada dalam bentuk Barisan Nasional pada hari ini perlu disemak semula. Suatu bentuk gagasan politik baharu yang melangkaui gabungan Barisan Nasional mesti segera diusahakan. Gagasan ini tidak hanya diwakili oleh parti-parti komponen BN yang masih tinggal, bahkan harus disertai parti-parti lain daripada blok pembangkang. Gagasan ini perlu memfokuskan kepada usaha untuk memperkukuhkan pakatan pembangkang yang kuat dan berwibawa demi menjaga kepentingan rakyat. Bagi tujuan ini, PEMUDA mencadangkan satu TASK FORCE atau PASUKAN KHAS mewakili semua parti-parti komponen mestilah segera dibentuk. 18 UCAPAN DASAR ketua pemuda umno

78. Sehubungan dengan itu juga, UMNO harus memulakan inisiatif yang serius bagi menggembeleng seluruh NGO-NGO untuk duduk bersama berkongsi aspirasi dan harapan. Baik NGO Islam dan adat Melayu, NGO Pendidikan, NGO Bahasa, Persatuan-Persatuan Belia dan Mahasiswa, NGO golongan berkepentingan seperti OKU, Persatuan Penduduk, NGO Alam Sekitar dan NGO-NGO Politik Antarabangsa. Kita harus melihat mereka sebagai rakan dan taulan bukan musuh atau saingan. Mereka mempunyai idealisme yang jelas dan jaringan keahlian yang ramai. Semua ini adalah peluang membina kekuatan dan menambah kematangan agar PEMUDA boleh bangkit, membela rakyat.

79. Begitu juga dengan rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak. PEMUDA UMNO melihat kewujudan rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak dalam Malaysia sejak 1963 mesti diraikan dengan tepat. Mereka berhak mendapat kuasa autonomi seperti yang dimetrai dalam perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Buat sahabat-sahabat kita PEMUDA SABAH, kami menyokong penuh cadangan UMNO Sabah untuk diberikan ‘autonomi’ merangka strategi politik mereka tersendiri, sesuai dengan keperluan dan tuntutan politik Sabah yang berbeza dengan Semenanjung baik dari segi etnik mahupun agama.

80. Ini sebagai komitmen dan keikhlasan UMNO mengiktiraf status dan kedudukan khas Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita mahu UMNO menjadi parti nasional pertama yang memulakan langkah pragmatik, memberikan autonomi kepada UMNO Sabah sebagai citra iltizam tinggi untuk mengiktiraf kedudukan Sabah sebagai salah satu entiti utama yang membentuk Persekutuan Malaysia. Ia juga sebagai satu pengiktirafan terhadap hak dan kepentingan semua ahli UMNO di Sabah sebagai negeri yang mempunyai jumlah keahlian tertinggi dengan hampir 20 peratus terdiri daripada kalangan Bumiputera bukan Islam.

81. Sifat inklusif UMNO bukan sahaja melibatkan agenda survival politik 1. kuasa, bahkan ia menuntut kita untuk melihat kepada agenda penyatuan ummah yang lebih besar. Apatah lagi berhadapan regim pemerintah kini yang semakin mendedahkan ancaman terhadap martabat Islam yang sekian lama kita bina di negara ini.

82. Inilah sebenarnya terhasrat di sebalik langkah awal untuk kita menjalinkan semula ikatan ukhuwwah yang lama terlerai dengan saudara seakidah kita, PAS. Lebih-lebih lagi apabila Allah mentakdirkan kedua-dua parti ini sama-sama berada dalam blok pembangkang.

83. Saya tahu ada yang suka dan tidak kurang juga mereka yang kurang selesa dek kerana dihantui oleh sejarah lama. Ada juga yang terhiris apabila masih terhambur kenyataan-kenyataan di kalangan sahabat pimpinan PAS yang menggambarkan seolah-olah kita yang terdesak, “Bak Hidung Tak Mancung Pipi Tersorong-Sorong”. Memang bukan mudah untuk melakar suatu yang besar setelah berpuluh tahun bersengketa dan beramarah. Apatah lagi ujian persaudaraan adalah ujian yang paling sulit untuk dihadapi walaupun tuntutannya amat jelas dalam Syariah.

84. Justeru pendirian PEMUDA adalah jelas, kita harus berjiwa besar demi Islam. Muafakat kita dengan PAS adalah semata-mata memenuhi tuntutan agama demi mencari rahmat dan keberkatan. Masingmasing boleh kekal dengan identiti, orientasi dan pendekatan tanpa perlu meleburkan mana-mana ideaslisme parti. Ini kerana apabila satu-satu permuafakatan disandarkan kepada kuasa dan kebendaan semata-mata, ia terdedah kepada risiko wujudnya rasa tidak puas hati apabila berhadapan dengan realiti sebenar di puncak kuasa ataupun dihidangkan dengan pelbagai bentuk peluang-peluang bersifat kebendaan.

85. PEMUDA UMNO ingin menegaskan bahawa kami mendokong sebarang usaha pucuk pimpinan untuk terus mencari formula terbaik bagi mewujudkan apa jua bentuk kerjasama mahupun gabungan pelbagai parti-parti politik dalam blok pembangkang. Namun PEMUDA ingin ingatkan jangan sesekali mengorbankan maruah parti. Kerjasama dengan sesiapapun jangan sampai mencabut tunjang perjuangan parti.

TERAS KEEMPAT: PENGISLAHAN PEMUDA
Sahabat-sahabat Seperjuangan Sekalian,
86. Semasa pemilihan PEMUDA 3 bulan lepas, saya menawarkan kepada saudara-saudara Agenda Pengislahan atau Pemerkasaan PEMUDA berteraskan konsep 5P: Pengkaderan, Pentarbiyahan, Pembudayaan Ilmu, Pemerkasaan Rohani, dan Pengukuhan Jati Diri.

87. Saya persembahkan 5 Agenda Pengislahan ini kepada sahabat-sahabat PEMUDA, tidak lain dan tidak bukan berpaksikan kepada satu nawaitu untuk PEMUDA UMNO kembali kepada akarnya “Back to Basic”. 88. Kembali kepada akar nurani manusia yang secara fitrah amat bergantung kepada PenciptaNya Yang Maha Berkuasa. Kembali kepada akar yang membentuk fikrah parti yang memandu setiap warga dalam misi perjuangannya. Akar yang menunjangi nilai teras anggota parti untuk terus bersatu, bersetia dan berkhidmat.

89. Sebab itulah, perkara pertama yang saya tekankan untuk terus dilaksana sejurus saya menerima mandat besar ini, ialah siri-siri ‘HALAQAH ILMU PEMUDA’ bagi setiap negeri, bahagian hinggalah ke cawangan.

90. Saya percaya strategi ‘HALAQAH’ ini ada barakah dan rahmatnya. ‘HALAQAH’ sebenarnya hanyalah istilah Arab yang bermaksud ‘Pertemuan dalam kumpulan atau linkungan. Halaqah sebenarnya bukan sesuatu asing dalam budaya UMNO, malah ia boleh menjadikan platform untuk kita turun bertemu dengan akar umbi, berbincang strategi parti, di samping memperkukuhkan ukhuwwah persahabatan dengan cara yang lebih berstruktur, tanpa melibatkan kos besar, dan tanpa perlu ke tempat-tempat mewah cara elitis.

91. Idea ‘HALAQAH’ ini tercetus sebagai satu manifestasi usaha kita untuk mengikut model perjuangan Rasul kita, Muhammad SAW tatkala mula mengatur langkah untuk menggerakkan sahabat-sahabat Baginda untuk bangkit berjuang setelah menerima amanah wahyu Ilahi. Saya percaya ini adalah pendekatan pertama kita dalam usaha PEMUDA memperkukuhkan saf dan mengorak langkah untuk bangkit kembali dalam agenda perjuangan yang begitu mencabar masa kini.

92. Halaqah pertama di rumah Al-Arqam Ibnu Abi Al-Arqam yang hanya menghimpunkan beberapa sahabat sahaja pada peringkat awal, ternyata telah menjadi platform penting menyemai budaya ilmu, menjalinkan ikatan persaudaraan, membentuk jatidiri yang kental sekaligus medan merencana strategi organisasi. Walaupun nampak hanya sekadar inisiatif kecil, namun jangan diremehkan usaha kerdil ini kerana daripada hanya sebuah ‘HALAQAH’lah Islam telah berjaya tersebar ke seantaro dunia hingga ke hari ini.

93. Alhamdulillah, saya melihat perkembangan yang amat positif meneliti laporan program ‘HALAQAH’ yang dibuat secara berterusan di semua peringkat cawangan, bahagian dan negeri, melalui ruang-ruang 21 UCAPAN DASAR ketua pemuda umno whatsapp setiap PEMUDA Negeri dan Bahagian. Di peringat Pusat, saya mengucapkan syabas kepada barisan exco-exco saya, walaupun baru 3 bulan, pelbagai strategi sudah dirangka bagi menterjemahkan Agenda 5P melalui sekretariat-sekretariat yang dibentuk. InsyaAllah, strategi dan gerakkerja yang lebih spesifik, kita akan kongsikan sejurus selepas Perhimpunan besar ini.

94. Sejujurnya, saya ingin nyatakan bahawa saya begitu terharu melihat semangat juang dan pengorbanan saudara-saudara, kerana saya cukup memahami bahawa kita semua bergerak dalam keadaan serba kekurangan dengan pelbagai tekanan. Namun saudara telah membuktikan bahawa PEMUDA sudah bersedia untuk melakukan pembaharuan. Inilah sebenarnya makna pengislahan. Ingatlah wahai sang penguasa, kami pemuda pewaris Agama Bangsa. Makin kami ditekan, makin kami akan bangkit melawan.

TERAS KELIMA: PENJENAMAAN SEMULA PEMUDA
Sahabat-sahabat Sidang Perwakilan Sekalian,
95. Keempat-empat TERAS yang saya bentangkan setakat ini merumuskan bahawa PEMUDA UMNO selaku pewaris bangsa dan pemimpin masa depan perlu dipersiapkan untuk suatu penjenamaan baru.

96. Penjenamaan baru PEMUDA UMNO bukan bererti kita melupakan sejarah kegemilangan PEMUDA UMNO yang lalu. Penjenamaan baru PEMUDA juga bukan bermaksud menafikan sumbangan dan pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu.

97. Maksud penjenamaan semula PEMUDA adalah untuk kita memulihkan kembali wadah kita yang kini mengalami krisis kepercayaan rakyat. Penjenamaan semula juga menuntut PEMUDA untuk ditampilkan dengan personaliti baru dan naratif baru yang lebih memikat.

98. Analogi mudahnya, UMNO hakikatnya sudah mempunyai produk yang baik, namun kita bermasalah dengan para jurujual atau salesman kita. Justeru pilihan kita samaada untuk beri dia motivasi dan nasihat untuk berubah, atau berikan dia latihan secukupnya agar produk yang dijualnya mampu menawan pelanggan, atau jika masih susah untuk berubah, kita ganti sahaja yang baru.

99. Demikian juga dengan situasi UMNO hari ini, kita sudah tidak boleh lagi memejamkan mata, menulikan telinga hatta membisukan bicara terhadap segala penyimpangan dan penyelewengan. Pokoknya naratif ‘Islam dan Melayu’ yang menjadi produk perjuangan UMNO adalah yang terbaik. Namun jurujualnya hari ini yang terpalit dengan pelbagai isu moral, salahlaku dan rasuah, terjerumus dalam masalah integriti dan tadbir urus, tercalit dengan isu pemborosan dan pembaziran.

100. Justeru PEMUDA perlu tampil untuk melayakkan dirinya menjadi model dan jelmaan sebenar ciri-ciri keunggulan Islam dan Melayu. Jelmaan ‘Islam dan Melayu’ PEMUDA UMNO; memperjuangkan nilai-nilai sejagat seperti prinsip keadilan, kesaksamaan, ketelusan, kepelbagaian, kehormatan insan, sekaligus menolak dengan keras segala bentuk aspek salah laku, rasuah, kebobrokan, penyimpangan dan penyelewengan.

101. Dengan ini sebagai tanda kesungguhan dan keseriusan kami, PEMUDA ingin menawarkan secara sukarela untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Institut Integriti Malaysia, Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara dan mana-mana pihak yang boleh membantu PEMUDA UMNO untuk menambah baik segala aspek tadbir urus dan isu-isu integriti organisasi.

102. PEMUDA UMNO juga selepas ini perlu tampil berani mengkritik dan menegur sesiapa sahaja hatta pimpinan atasan demi memastikan kita sentiasa berada pada landasan yang betul dan tidak sesekali mengkhianati agenda rakyat.

103. Maka buat pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat, PEMUDA UMNO pada hari ini ingin berpesan, sesiapa sahaja yang merasakan dirinya terpalit dengan apa jua bentuk penyimpangan, undurlah secara terhormat, jangan sesekali menjadikan parti sebagai perisai kepada segala kedurjanaan diri, janganlah mengheret parti bersama-sama dengan kecurangan peribadi.

PENUTUP
Saudara-saudara Seperjuangan Sekalian,
104. Apa yang telah saya bentangkan selama hampir satu jam ini adalah suatu agenda besar untuk kita menuju ke arah PRU Ke-15 nanti. 5 TERAS yang saya gariskan merupakan tunjang penting yang akan menentukan samaada PEMUDA UMNO mampu bangkit kembali.

105. Kebangkitan kita akan menentukan jatuh bangunnya Bangsa, Kebangkitan kita akan menentukan kelangsungan martabat Agama, Kebangkitan kita akan menentukan masa depan negara. Sebenarnya misi ini jauh lebih besar maknanya berbanding hanya percaturan menang kalah pilihanraya.

106. Namun percayalah, hanya yang jujur dan benar-benar ikhlas yang memusatkan sepenuhnya keyakinanan dan tawakkal pada Allah yang akan merasai keajaibannya. Minda kerdil kita takkan mampu menggapai segala keajaiban yang Allah tetapkan. Apa yang penting kita mengakui kekhilafan, menginsafi keterlanjuran, memperbaharui tekad dan membina keazaman untuk PEMUDA BANGKIT KEMBALI.

107. Buat seluruh rakyat Malaysia, kami mengakui bahawa kami tidak sempurna, sepanjang 60 tahun UMNO menerajui tampuk pemerintahan, sudah tentu wujud kekhilafan dan keterlanjuran yang telah kami lakukan. Dengan rasa rendah hati mewakili PERGERAKAN PEMUDA UMNO, kami ingin memohon maaf.

108. Buat penyokong-penyokong dan pengundi-pengundi UMNO di segenap peringkat akar umbi, walaupun kami terbelenggu dan terpalit dengan pelbagai bentuk kekhilafan dan keterlanjuran, kalian masih setia menerima kami. Daripada lubuk hati yang tulus murni, PEMUDA UMNO mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih.

109. Buat pemimpin-pemimpin dan penggerak-penggerak UMNO, ayuh sama-sama kita perkukuhkan parti, teruslah setia dengan perjuangan ini, dokongilah agenda kebangkitan kami. 110. Akhirnya buat adinda-adindaku seluruh wira-wira PEMUDA:
Ayuh…Bangunlah! Bangkitlah!
Darah Kalian… Darah Pejuang
Usah Gundah ..Usah Goyang
Kerna Besok…Belum Kiamat
Biarpun Hati Dan Diri Kita Sudah Dilapah
Jangan Sampai Darahnya Tumpah Melimpah
Biarpun Dinding Layarnya Sudah Di Carik
Jangan Sampai Ianya Rabak Dan Robek
Balutilah Lukamu… Jahitilah Yang Robek
Kita Berjanji Dan Bersumpah Setia
Sedia Mengusir Segala Durjana
Sedia Menyingkir Dosa Dan Noda
Ayuh…Kita Buka Langkah
Seluruh Tenaga Kita Kerah
Jangan Gelabah Usah Telagah
Jangan Cepat Berasa Pasrah
Semarak Semangat Menjulang Maruah
Demi Agama… Demi Negara….Demi Ummah
Ayuh…Kita Genggam Tangan Kanan Bersama
Kita Julang Ke Atas Dan Sematkan Di Dada
Launglah….!
Dengan Suara Yang Tegas
Dengan Semangat Yang Keras
Pemuda Bangkit Kembali! (3 X)
HIDUP ISLAM…. HIDUP MELAYU….
HIDUP RAKYAT… HIDUP UMNO…
ALLLAHU AKBAR!!!!

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
UMNO mengalu – alukan permohonan Tuan / Puan / Saudara / Saudari untuk menjadi ahli UMNO
  • Pemohon hendaklah Warganegara Malaysia yang berbangsa Melayu atau Bumiputera yang berusia 18 tahun ke atas.
  • Pemohon dikehendaki mengisi dengan lengkap butir – butir yang diperlukan di dalam perenggan A, B, C dan D.
  • Setiap permohonan hendaklah disokong oleh seorang pencadang dari ahli biasa, ahli wanita, ahli pemuda atau ahli puteri daripada Cawangan di mana pemohon ingin menjadi ahli. (Sila rujuk perenggan E)
  • Setiap permohonan mestilah disertakan dengan salinan kad pengenalan atau Dokumen Pengenalan Sementara yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
  • Setiap permohonan mesti disertakan dengan wang tunai sebanyak RM 2.00 sebagai yuran seumur hidup.
  • Borang permohonan yang dilengkapkan hendaklah dikemukakan kepada Ketua Cawangan di mana Cawangan pemohon ingin menjadi ahli.
  • Setelah Ketua Cawangan, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri menandatangani penerimaannya serta menurunkan cop dalam perenggan F, pemohon hendaklah membuat salinan untuk disimpan sebagai rujukan.
  • Pemohon akan dimaklumkan oleh Jawatankuasa Cawangan dalam masa satu bulan dari tarikh penyerahan permohonannya samaada permohonan itu diterima atau ditolak.
  • Jika pemohon tidak didaftar sebagai ahli dalam masa satu bulan, pemohon bolehlah melaporkan hal itu kepada Jawatankuasa Bahagian.
  • Jika pemohon tidak juga didaftar sebagai ahli satu bulan selepas melaporkan kepada Jawatankuasa Bahagian, Pemohon bolehlah melapor kepada MAJLIS TERTINGGI dengan mengemukakan bersama salinan pemohon atau menghubungi di talian Tel. : 03 – 40429511 samb. 2738, 2740, 2742, 2744. Faks. : 03 – 40411626.
  • MAJLIS TERTINGGI berhak membuat apa – apa keputusan atas mana – mana permohonan pendaftaran keahlian atau taraf sesuatu pendaftaran itu dan keputusan itu adalah muktamad.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Selangor, Dato' Noarazley merangkap Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Negeri Selangor mengucapkan selamat datang dan selamat bersidang kepada semua Perwakilan UMNO 2018.

Semoga persidangan kali ini akan menyemarakkan semangat UMNO untuk terus berjuang mempertahankan Agama, Bangsa dan Tanahair.

Selamat bersidang.